Pages

Sunday, July 3, 2011

Tradisi ‘mengingat’ unik

‘Unik’ itulah perkataan yang paling sesuai untuk digambarkan kepada beberapa penduduk di Kampung Charok Bemban yang masih mengamalkan tradisi ‘mengingat’ yang semakin hilang ditelan arus zaman.

‘Mengingat’ merupakan istilah tempatan yang membawa maksud iaitu menangkap ikan tanpa menggunakan sebarang kelengkapan selain daripada kedua-dua belah tangan dan juga kaki.

Tradisi ini merupakan idea orang yang terdahulu yang kemungkinan tidak mempunyai peralatan yang cukup untuk menangkap ikan. Sehubungan itu, mereka hanya bergantung kepada anggota badan.

Tradisi ini masih lagi dipelajari oleh golongan veteran walaupun terdapat banyak kelengkapan menangkap ikan dewasa kini. Namun begitu, ia kemungkinan akan pupus berikutan kurang mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda.

Penduduk Kampung Charok Bemban, Abdul Ghani Hassan, 44, berkata, tradisi itu dipelajari oleh ibu bapanya yang dulu aktif dalam aktiviti mengingat.

“Mengingat boleh dilakukan di sungai yang dalam. Mengikut logik akal, memang susah untuk menangkap ikan di dalam sungai yang keruh dan dalam. Tapi, itulah keunikan mengingat,” katanya kepada Sinar Harian.



Cara-cara mengingat



Untuk mengingat, seseorang itu perlu berani dan tidak geli kerana kita tidak mengetahui apakah ikan ditangkap semasa mengingat.

“Mengingat perlu dilakukan dalam sungai yang keruh. Jadi, kita tidak akan tahu apakah jenis ikan masuk ke dalam tangan kita. Lepas dah berjaya tangkap, barulah kita lihat jenis ikannya. “Namun, ada juga yang berasa geli apabila memegang sesuatu yang licin. Sehubungan itu, orang sebegini tidak boleh mengingat kerana ikan pasti terlepas dari genggaman mereka,” katanya.

Menurutnya, proses mengingat ini bermula dengan mengocakkan air sungai agar ikan keluar dari tempat persembunyian mereka.

“Dalam pada masa yang sama, kita perlu letakkan kedua-dua belah tangan di dalam sungai sambil meraba-raba sehinggalah kita merasai rempuhan ikan berkenaan. Bila ikan dah terkena tangan, kita tahu kawasan berkenaan merupakan lubuk ikan.

“Sehubungan itu, kita akan terus meraba-raba di dalam sungai. Bila ada ikan yang melanggar tapak tangan, pengingat akan terus menggenggam ikan berkenaan,” katanya.

Setiap pengingat akan membawa guni ataupun plastik yang akan diikat di pinggang mereka untuk menyimpan ikan yang berjaya ditangkap.

“Walaupun caranya nampak mudah. Namun sebenarnya ia sukar bagi orang yang tidak berpengalaman. Untuk mengingat, kepantasan dan naluri itu penting untuk memastikan ikan berjaya ditangkap,” katanya.



Risiko mengingat



Setiap perkara pasti mempunyai risiko sama ada besar mahupun kecil. Begitu jugalah dengan mengingat. Seperti mana diketahui, kita tidak mengetahui apakah ikan yang di dalam genggaman kita. Jadi, risiko untuk disengat oleh ikan berbisa adalah tinggi. Namun begitu, perkara ini merupakan perkara biasa dan ia tidaklah dianggap risiko yang serius bagi seorang pengingat.

Menurutnya, selain risiko disengat, pengingat juga terdedah kepada haiwan berbisa seperi ular air dan sebagainya.

“Semasa mengingat, kita akan mencari tempat yang menjadi lubuk ikan. Lubuk ikan selalunya di kawasan kayu-kayu dan pepohon.

“Tempat begini bukan sahaja dihuni oleh ikan tetapi juga haiwan berbisa. Namun begitu, setakat ini, belum lagi terjadi perkara yang serius sehingga menjejaskan minat terhadap tradisi ini,” katanya.



Beza dulu dan sekarang



Menurutnya, tidak dinafikan, memang terdapat perbezaan yang besar ketika mengingat pada waktu dahulu dan juga sekarang.

“Dulu ramai yang pandai mengingat. Bila ramai, suasana akan menjadi lebih meriah. Mengingat tidak perlu keadaan yang sunyi. Lebih ramai orang yang mengingat, ikan akan bertambah takut seterusnya akan memudahkan pengingat untuk mendapatkan ikan.

“Selain itu, ikan dulu lebih banyak berbanding sekarang. Dalam masa beberapa jam, setiap pengingat boleh menaikkan sehingga dua kilo ikan. Sekarang, ikan bertambah kurang disebabkan pencemaran,” katanya.



Tradisi kemungkinan akan pupus



Menurut Ghani, tradisi ini kemungkinan pupus sekiranya generasi muda tidak mengambil peluang untuk mempelajari kemahiran mengingat.

“Dalam kampung ini, hanya beberapa orang sahaja yang mempunyai kemahiran mengingat. Jadi, amatlah rugi sekiranya tradisi ini tidak dipelajari oleh anak muda.

“Tradisi ini masih diamalkan kerana masih ada golongan veteran yang menyayangi tradisi ini, Sekiranya golongan ini tiada, kemungkinan tradisi ini akan terus terkubur,” katanya.
SH

No comments: