DERITA... anak turut menjadi mangsa dera suami.
KENANGAN... saat bahagia sewaktu bergelar isteri.
KUALA LUMPUR: Mereka bahagia pada awal perkahwinan, namun segala-galanya bertukar menjadi ‘neraka’ buat seorang wanita apabila suaminya bukan saja melanggan pelacur berdekatan sempadan Thailand di utara tanah air, malah menjalin hubungan serius dengan perempuan jalang itu.
Selepas hanyut dalam belaian pelacur, suami Norsiah Ramli, 33, berubah perwatakan menjadi kejam dan bacul.
Dia yang bertugas di utara bukan saja tergamak mendera Norsiah setiap kali pulang ke ibu kota, malah membiarkan wanita itu terkontang-kanting bersama dua anak yang masih kecil dengan hutang keliling pinggang, sedangkan dia leka berfoya-foya.
Hutang sewa rumah saja mencecah RM5,300 selepas lebih satu tahun tertunggak hingga premis milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mereka diami itu bila-bila masa saja akan ditarik balik.
Itu tidak termasuk tunggakan bil elektrik dan air, ada kala dia dan anak di rumah terpaksa bergelap dan terputus bekalan air kerana bil tidak berbayar sehingga tiga bulan.
Mengimbas kisah hidupnya, Norsiah berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan suaminya pada Ogos 2008. Sebagaimana pasangan lain yang baru melayari alam rumah tangga, semuanya bermula manis baginya dan suami.
Pun begitu, ia tidak lama. Suaminya yang juga anggota keselamatan dalam sebuah agensi kerajaan mula menunjukkan belang sebenar.
Daripada penyayang, suami Norsiah menjadi tidak berhati perut dengannya. Beberapa lama selepas melahirkan anak pertama, suaminya kerap memukul dan menderanya tanpa belas kasihan.
“Semuanya berubah selepas suami mula ‘menggatal’ dengan perempuan lain. Bila belangnya terbongkar, dia tidak dapat menerima hakikat dan saya dijadikan mangsa,” katanya.
Mei lalu, Norsiah bercerai dan tinggalkan suaminya. Ia juga bukan perceraian pertama bersama lelaki itu, sebelum ini mereka pernah bercerai namun rujuk semula.
Bagaimanapun, status perceraian itu masih tergantung kerana ia tidak laporkan secara sah kepada pihak berkuasa, sebaliknya hanya secara lisan.
Ikuti lanjut kisah duka Norsiah selama tiga tahun bergelar isteri yang dianggap umpama neraka dalam hidupnya.
Dari 2008 hingga 2009
“Pada awal perkahwinan, saya mengikuti suami yang bertugas di utara tanah air. Perkahwinan kami bermula bahagia, namun saya tidak nafikan terlalu banyak kesukaran yang kami terpaksa lalui berikutan halangan keluarga.
Semua itu tidak penting bagi saya, asalkan dapat mendampingi orang yang saya suka dan sayang. Namun, ia (perkahwinan) tidak seperti yang saya impikan.
Selepas anak pertama dilahirkan, saya bagaikan hidup dalam neraka. Saban hari ada saja yang tidak kena dan menjadi pertengkaran antara saya dan suami. Jika dia (suami) rasa tercabar sangat, mulalah dia memukul saya.
Kami mula bertengkar selepas mengetahui suami bermain kayu tiga. Saya dapat tahu suami melanggan pelacur berdekatan sempadan tanah air. Suami menafikannya, tetapi semua itu terbongkar daripada mulut rakannya.
Tidak lama selepas itu, saya dapat tahu dia mula menjalin hubungan dengan pelacur dari Siam. Hancur hati saya apabila dapat tahu suami menjalin hubungan serius dengan perempuan jalang.
Kami bergaduh teruk selepas itu, tapi apakan daya saya perempuan yang tidak mampu melawan apabila dipukul. Saya dipukul bukan saja dengan tangan dan kaki, malah diperlakukan seperti binatang.
Saya tidak dapat bertahan lagi selepas itu. Kemuncaknya, kami bercerai pada September 2009. Saya pulang semula ke Kuala Lumpur (KL) dan tidak mahu bertemu suami lagi.
Namun, entah bagaimana selepas itu, hubungan kami bertaut kembali. Suami datang ke rumah di KL dan saya pula bagaikan cair dengan pujuk rayunya.
Kami rujuk semula hanya selepas lima hari bercerai. Mungkin kerana sayangkan dia, saya lupa diri dan sanggup mengikut telunjuk suami semula.”
Dari 2009 hingga 2010
“Selepas rujuk dengan suami, saya ingatkan dia akan berubah. Lebih-lebih lagi selepas saya melahirkan anak kedua.
Perangainya bertambah teruk, dia bukan saja masih memukul saya, bahkan berkelakuan ganjil. Isteri mana yang tidak syak jika suami berubah kelakuan, walaupun baru masuk dua tahun bersama, tetapi saya kenal kelakuan suami.
Suami boleh berubah angin bila-bila masa dan seperti biasa saya menjadi mangsa. Pernah sekali, saya membeli-belah bersamanya, entah bagaimana ‘mood’nya (angin) berubah dan memarahi saya. Ketika itu saya mengikut semula suami menetap di utara.
Dia tidak bercakap apa-apa, tiba-tiba saja saya ditinggalkan begitu saja. Masalahnya, rumah kami bukan dekat, satu jam setengah perjalanan baru sampai rumah.
Puas saya menghubungi (melalui telefon bimbit) tidak dijawab. Saya terpaksa meminta bantuan rakannya, tetapi itu pun tidak dilayan suami.
Mujur ada rakan mahu menumpangkan saya tinggal di rumah mereka malam itu, kalau tidak saya hilang arah dan tidak tahu hendak ke mana.
Sebenarnya, saya syak suami mengambil dadah. Mungkin dia menagih syabu, tetapi sukar pula saya hendak membuktikannya. Jika saya persoalkan, saya dipukul, terasa azab sungguh hidup saya.
Menjelang 2010 pula, sekali lagi suami buat hal dengan ‘betina’ lain. Kali ini bukan dengan pelacur, tetapi penuntut kolej swasta. Hubungan sulitnya sekali lagi menyebabkan pertengkaran antara saya dan suami.
Merajuk dengan kelakuan suami yang tidak mahu berubah-ubah, saya kembali semula ke rumah (di KL).
Pada awal Januari, saya dan suami bergaduh besar ketika dia datang ke KL bertemu saya. Saya dipukul dengan teruk masa itu lalu membuat laporan polis kerana tidak tahan lagi.
Bagaimanapun, saya tidak tahu mengapa selepas saya membuat laporan polis, tidak lama kemudian saya kembali bersamanya.
Hubungan kami kembali pulih, namun itupun tidak lama.”
2011
“Saya bagaikan terpukau dengan pujuk rayu suami. Entah mengapa, walaupun dilayan seperti binatang, saya masih ingin bersama suami yang dayus.
Mungkin memikirkan anak masih kecil, saya tidak mahu berpisah dengannya sekalipun tahu hidup saya akan menderita selagi bersamanya.
Pada Mac lalu, saya bersama suami berkunjung ke rumah seorang rakan di sekitar KL. Ketika saya menggunakan telefon bimbitnya untuk menghubungi rakan lain, tidak lama selepas itu saya menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) daripada seorang wanita tidak dikenali.
Daripada lenggok bahasa (dari SMS itu), ia bukan SMS biasa. Saya marah dan tanya suami siapa wanita yang menghubunginya.
Akibatnya, saya dipukul di depan rakan. Dia menumbuk saya bertubi-tubi dan menendang saya tanpa belas kasihan.
Mulut saya cedera dan mata kiri saya lebam. Atas nasihat rakan, saya membuat laporan polis.
Tidak lama selepas itu, pada Mei lalu kami bergaduh besar. Cukuplah... ia adalah kemuncak selepas tiga tahun kami bersama.
Saya tidak dapat bertahan lagi, selain dipukul sehingga lebam di muka, tangan dan kaki, saya ditumbuk hingga gigi patah. Bayangkan, betapa seksanya saya masa itu.
Sekali lagi saya membuat laporan polis. Selepas pergaduhan itu, kami bercerai lagi dan kali ini saya nekad tidak mahu bersamanya lagi.
Sekarang saya sedar, hanya saya yang sayangkan suami. Buat apa saya teruskan hidup bersama orang yang bukan hendak membelai saya, sebaliknya hanya tahu memukul dan mencari perempuan lain.
Hidup saya kini bertambah sukar, saya terpaksa membesarkan anak dan tidak memiliki pekerjaan. Lebih memeningkan, sewa rumah yang saya duduki sekarang banyak tertunggak.
Suami tidak pernah membayarnya, dan tertunggak lebih satu tahun berjumlah lebih RM5,000. Itu tidak termasuk tunggakan bil air dan elektrik.
Terlalu sukar untuk meneruskan hidup tetapi saya reda, mungkin inilah dugaan hidup untuk saya.”
No comments:
Post a Comment