SENANG HATI...Strauss-Kahn ditemani isterinya, Anne Sinclair, meninggalkan apartmen di New York yang menjadi tempat tahanannya selama ini. |
NEW YORK: Pendakwa kes salah laku seks bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) berkata, pengadu kini berdepan masalah kredibiliti serius apabila sejarah silamnya diselidik.
Pihak berkuasa percaya, pekerja hotel berusia 32 tahun itu melakukan penipuan berkali-kali sebelum ini dan ada kemungkinan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah atau pengubahan wang haram.
Penolong Pendakwa Daerah, Joan Illuzzi-Orbon, berkata kekukuhan kes serangan seksual membabitkan Dominique Strauss-Kahn terjejas teruk.
Sebelum ini, pekerja hotel itu mendakwa dia dikejar Strauss-Kahn - ketika itu berbogel - dalam bilik Hotel Sofitel. Pemeriksaan menunjukkan, memang ada hubungan seksual berlaku di antara kedua-dua mereka, tetapi ia berlangsung atas dasar suka sama suka.
Sumber pula berkata, wanita tidak didedahkan identitinya itu juga sering berhubung melalui telefon dengan seorang pengedar dadah yang kini dipenjara.
Katanya, dalam tempoh 24 jam selepas bertemu Strauss-Kahn, 62, di bilik berkenaan, wanita terbabit didapati bercakap dengan banduan terbabit.
Dalam perbualan yang dirakamkan itu, wanita terbabit berbincang dengan banduan berkenaan mengenai kemungkinan mendapatkan keuntungan jika membuat tuduhan ke atas Strauss-Kahn.
Wanita itu juga menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk membayar bil telefon kepada lima syarikat telekomunikasi setiap bulan walaupun dia mengaku kepada polis hanya memiliki satu telefon.
Menurut sumber, wanita itu pernah membuat ikrar palsu ketika memohon suaka di AS dengan mendakwa dia menjadi mangsa rogol berkumpulan tentera Guinea - negara asalnya.
Dalam surat kepada mahkamah, Joan menyatakan setiap masalah dihadapi pendakwa dengan wanita terbabit.
“Walaupun menangis ketika menceritakan pengalamannya mendapatkan suaka di AS, dia kemudian mengaku pengakuan itu palsu,” katanya.
Strauss-Kahn dibebaskan daripada tahanan rumah kelmarin selepas isu berkenaan ditimbulkan pihak pendakwa.
Walaupun tuduhan ke atasnya belum ditarik balik, ikat jamin Strauss-Kahn dibatalkan, membayangkan kemungkinan tiada tuduhan akan dikenakan ke atasnya. - DMmyMetroKredibiliti ‘mangsa’ Strauss-Kahn lemah
No comments:
Post a Comment