Seorang gabenor pada zaman Khalifah Al-Mahdi, pada suatu hari mengumpulkan sejumlah rakyatnya dan menaburkan wang dinar dihadapan mereka. Semuanya saling berebut untuk memungut wang itu dengan riang gembira. Kecuali seorang wanita berkulit hitam dan berwajah buruk.
Dia hanya diam sahaja tidak bergerak, sambil memandang jiran – jirannya yang sebenarnya lebih kaya dari dirinya, tetapi seolah-olah mereka kekurangan harta.
Dengan kehairanan Gabenor bertanya, “Mengapa engkau tidak memungut wang dinar itu seperti jiran engkau yang lain?”
Wanita berwajah buruk itu menjawab, “Mereka cari wang dinar sebagai bekal dunia. Sedangkan yang saya memerlukan bukan dinar melainkan bekal akhirat.”
“Maksud kamu?” tanya Gabenor yang mulai tertarik akan keperibadian perempuan itu.
Maksud saya, wang dunia sudah cukup. Yang masih saya perlukan adalah bekal akhirat, iaitu solat, puasa dan zikir. Kerana perjalanan di dunia amat pendek jika dibandingkan dengan pengembaraan di akhirat yang panjang dan kekal.”
Dengan jawapan seperti itu, Si Gabenor merasa telah disindir tajam. Dia insaf, dirinya selama ini hanya sibuk mengumpulkan harta benda dan melalaikan kewajipan agamanya. Padahal kekayaannya melimpah ruah, tidak akan habis dimakan keluarganya sampai tujuh keturunan. Sedangkan umurnya sudah di atas setengah abad, dan Malaikat Izrail sudah mengintainya.
Akhirnya Gabenor jatuh cinta kepada perempuan buruk itu. Khabar itu tersebar ke segenap pelusuk negeri. Menteri dan orang besar negara sangat hairan, bagaimana seorang Gabenor boleh menaruh hati kepada perempuan hodoh itu.
Maka pada suatu kesempatan, mereka diundang oleh Gabernor dalam sebuah pesta mewah. Semua rakyat, termasuk wanita yang hodoh tadi. Mereka diberikan gelas cristal yang bertahtakan permata, berisi minuman anggur segar. Gabenor memerintah agar mereka membaling gelas masing-masing.
Semuanya kebingungan dan tidak mahu menuruti perintah itu.
Namun, tiba-tiba terdengar bunyi berderai, tanda ada orang gila yang melaksanakan perintah itu. Itulah si perempuan berwajah buruk tersebut. Di kakinya terdapat pecahan gelas berhamburan. Semua orang nampak terkejut dan kehairanan. Gabenor itu bertanya, “Mengapa kamu membaling gelas itu?“
Tanpa takut wanita itu menjawab :
Ada beberapa sebab:
Pertama, dengan memecahkan gelas ini bererti berkurangnya kekayaan Tuan. Tetapi, pada saya perkara itu lebih baik, kerana kewibawaan Tuan terjaga lantaran perintah Tuan tidak dipatuhi.”
Gabenor terkesima. Para tetamunya juga kagum akan jawapan yang masuk akal itu.
Sebab lain?” tanya Gabenor itu lagi. Wanita itu menjawab.
“Kedua, saya hanya mentaati perintah Allah. Sebab di dalam Alquran, Allah memerintahkan agar kita mematuhi Allah, Utusan-Nya, dan para penguasa. Sedangkan Tuan adalah penguasa, atau ulil amri, maka saya laksanakan perintah Tuan.”
Gabenor semakin takjub. Demikian pula para tetamunya.
“Masih ada sebab lain?”
Perempuan itu mengangguk dan berkata.
“Ketiga, dengan saya memecahkan gelas itu, orang-orang akan menganggap saya gila. Namun, perkara ini baik buat saya. Biarlah saya di cap gila daripada tidak melakukan perintah Gabenornya, yang bererti saya sudah berbuat derhaka. Tuduhan saya gila, akan saya terima dengan lapang dada daripada saya dituduh derhaka kepada penguasa saya. Itu lebih berat buat saya.
Maka Gabenor yang sedang menduda itu melamar lalu menikahi perempuan hodoh dan hitam legam itu. Semua yang mendengar sangat gembira kerana Gabenor memperolehi jodoh yang bukan sahaja taat kepada suami, tetapi juga taat kepada gabenorrnya, kepada Nabinya, dan kepada Tuhannya.
Oleh : Ust M. Zainuddin
Sumber: Wanita Yang Berwajah Tidak Cantik | Paradigma MUKMIN http://akuislam.com/blog/kisah-tauladan/wanita-yang-berwajah-hodoh/#ixzz1R3YYct6s
No comments:
Post a Comment