Pages

Sunday, July 3, 2011

170,000 polis kawal pilihan raya

CALON parti pembangkang utama, Yingluck Shinawatra yang merupakan adik perempuan bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra berkempen di Bangkok semalam.


BANGKOK - Parti-parti politik Thailand merayu undi pada saat-saat akhir semalam menjelang pilihan raya umum yang disifatkan penting untuk menentukan masa depan negara berkenaan yang kerap dicemari pertumpahan darah. Sekitar 170,000 anggota polis dikerahkan melindungi pusat-pusat mengundi sepanjang pilihan raya kali ini yang diadakan selepas setahun Bangkok dicemari insiden keganasan awam paling teruk dalam tempoh beberapa dekad.

Tinjauan pendapat menunjukkan pembangkang utama, Parti Puea Thai yang menyokong bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mendahului Parti Demokrat pimpinan Perdana Menteri parti Abhisit Vejjajiva untuk memenangi pilihan raya hari ini. Dua parti politik utama itu giat berkempen di pusat bandar di sini yang merupakan lokasi pertempuran berdarah antara penunjuk perasaan dari parti pembangkang dengan pasukan keselamatan pada tahun lalu. Selepas pukul 6 petang waktu tempatan semalam, sebarang bentuk kempen politik adalah dilarang termasuk melalui laman jaringan sosial seperti Twitter dan Facebook serta laman blog di Internet.

"Mana-mana calon atau orang awam yang cuba meyakinkan orang lain supaya mengundi seseorang boleh dihukum penjara enam bulan atau didenda AS$324 (RM975) atau kedua-duanya sekali," kata jurucakap polis, Mejar Jeneral Prawut Thavornsiri. Menurutnya, tempoh beberapa jam sebelum pilihan raya merupakan tempoh bertenang bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Thaksin yang digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada tahun 2006 dan kini tinggal dalam buangan di Dubai, memilih adik bongsunya untuk bertanding jawatan Perdana Menteri pada pilihan raya kali ini dalam langkah yang dilihat dapat meningkatkan sokongan kepada pakatan pembangkang.

Namun, ramai penganalisis politik melihat Yingluck Shinawatra yang diramalkan menjadi perdana menteri wanita Thailand yang pertama, sebagai proksi politik abangnya. Beberapa jam terakhir sebelum kempennya tamat, Yingluck menyambut pengunjung di sini dengan menunjukkan satu jarinya untuk menggesa orang ramai supaya mengundi partinya. Parti Puea Thai berada pada nombor pertama senarai parti-parti yang bertanding dalam kertas undi. Thaksin masih disanjung oleh ramai penduduk di pedalaman Thai dan golongan pekerja di negara itu kerana polisinya yang bersifat populis seperti penjagaan kesihatan yang murah semasa beliau berkuasa.

Thaksin bagaimanapun dibenci golongan elit yang menganggap beliau korup dan mengancam institusi beraja di negara itu. "Selagi Thaksin ada, Puea Thai akan melakukan apa sahaja untuk mengembalikan harta Thaksin berjumlah AS $1.5 bilion (RM4.5 bilion) yang dirampas pihak berkuasa," kata Abhisit ketika berkempen kelmarin. "Negara ini tidak boleh bergerak ke hadapan sekiranya Puea Thai berkuasa. Puea Thai melakukan segalanya demi kepentingan seorang individu (Thaksin)," tambahnya. Mahkamah Thailand merampas sebahagian besar kekayaan bekas perdana menteri itu setelah beliau didapati bersalah kerana rasuah dan salah guna kuasa pada tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan baju merah yang menyokong Thaksin menyatakan pembangkang pasti akan memenangi pilihan raya kali ini. "Saya percaya pembangkang akan memenangi pilihan raya ini tetapi adakah kami (pembangkang) akan berjaya membentuk kerajaan. Inilah yang kami risaukan," kata seorang pemimpin baju merah, Don Chainapun semalam. Tentera yang menyokong institusi beraja memantau setiap pilihan raya di Thailand dengan negara itu mengalami 18 cubaan rampasan kuasa sejak institusi beraja menamatkan kuasa mutlak pada 1932 untuk memberi laluan kepada sistem pemerintahan berparlimen. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

No comments: