Pages

Thursday, July 21, 2011

Taliban terus yakin Mullah Omar masih hidup

KABUL 20 Julai – Taliban semalam menegaskan bahawa Mullah Omar masih hidup dan menuduh Amerika Syarikat (AS) menggodam telefon mereka untuk menghantar mesej yang menyatakan pemimpin itu telah mati.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid yang dikatakan telah menghantar mesej kepada media bagi mengumumkan mengenai kematian itu menafikan telah berbuat demikian.

“Kami dengan tegas menolak dakwaan ini. Kami tidak bimbang dengan berita seperti ini. AS telah menggodam telefon kami dengan teknologi hebat mereka dan menghantar mesej ini kepada media,” katanya.

‘Pemimpin Majlis Emiriah Islam Afghanistan (IEA) mengumumkan bahawa Ameer-ul-Mumineen atau lebih dikenali sebagai Mullah Omar telah meninggal dunia. Semoga Tuhan merahmati beliau’, menurut mesej yang dikatakan telah dihantar oleh Zabihullah.

Jurucakap kedua Taliban, Qari Yosuf Ahmadi turut mengesahkan bahawa telefon mereka telah digodam.

“Itu adalah mesej palsu. Pihak Barat telah menggodam telefon kami dan menghantar mesej tersebut menggunakan nombor telefon kami.

“Mereka mahu menipu rakyat Afghanistan, ia adalah tidak benar dan Mullah Omar masih hidup,” katanya.

Timbalan ketua perisikan bagi bandar Kandahar, Abdul Wahab Salih, bandar yang merupakan tempat kelahiran pergerakan Taliban serta menjadi pusat aktiviti pemberontak, berkata, Lembaga Kebangsaan bagi Keselamatan (NDS) tidak menerima laporan mengenai kematian Mullah Omar.

“Kami ada menerima mesej itu tetapi sumber perisikan kami tidak ada menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung kematian itu,” ujarnya. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: