Pages

Thursday, July 21, 2011

Mualaf disebat 40 kali kerana minum arak

SYDNEY: Seorang lelaki warga Australia yang baru menganut agama Islam telah ditahan dan disebat sebanyak 40 kali oleh sekumpulan lelaki Muslim kerana meminum alkohol.

Mereka memecah masuk ke rumahnya dan menghukum lelaki berkenaan kerana melanggar undang-undang syariah, sebuah mahkamah diberitahu kelmarin.

Lelaki berusia 31 tahun itu mendakwa telah diikat dan disebat dengan tali pintal di rumahnya di Sydney pada pagi Ahad lalu oleh empat lelaki yang memecah masuk ke rumahnya selepas beliau dikatakan keluar minum bersama rakan-rakannya.

Salah seorang daripada empat suspek itu, Tolga Cifci, 20 tahun, dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan memecah masuk tanpa kebenaran dan melakukan kesalahan serius yang boleh didakwa.

Pendakwa raya, Encik George Lolis, berkata Cifci melihat kegiatan mangsa meminum alkohol sebagai 'sesuatu yang melanggar hukum Islam' dan mewajarkan tindakannya dengan merujuk kepada 'penggunaan undang-undang agama tertentu'.

Suspek 'tidak menghiraukan langsung undang-undang wilayah ini', kata Encik Lolis.

Cifci, yang diikat jamin dengan syarat dia tidak boleh keluar rumah tanpa ibu bapanya serta mematuhi perintah berkurung pada malam hari, menyerahkan pasportnya dan diarah supaya menjauhi mangsa.

Dia akan dibicarakan lagi di mahkamah pada September ini.

Suspek kedua, seorang lelaki berusia 43 tahun, dihadapkan ke mahkamah semalam berhubung dakwaan memecah masuk tanpa kebenaran, menahan mangsa dengan tujuan mengambil kesempatan ke atasnya dan dua dakwaan mencuri.

Tidak ada dakwaan lain yang dibuat bagi insiden itu tetapi polis berkata mereka masih menjalankan siasatan. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: