Pages

Thursday, July 21, 2011

Indonesia minta bantuan Interpol

JAKARTA: Polis Indonesia telah melakukan penyelarasan dengan polis antarabangsa (Interpol) serta mengirimkan notis merah untuk menangkap seorang suspek rasuah Indonesia, yang mendedahkan pencabulan undang-undang beberapa ahli politik negara itu selepas dia melarikan diri ke luar negara, kata jurucakap polis, Inspektor-Jeneral Anton Bachrul Alam, semalam.

Muhammad Nazarudin, bekas bendahari Parti Demokrat, parti terbesar di Indonesia, didakwa terbabit dalam kes rasuah di sebuah bangunan kemudahan olahraga bagi Sukan Asia Tenggara (SEA) di Sumatera Selatan.

Ketika berada di luar negara, Nazarudin sering menghantar maklumat kepada pihak media, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon, mengenai pembabitan Timbalan Pengerusi Parti Demokrat, Encik Anas Urbaningrum, dan beberapa tokoh utama parti itu dalam amalan rasuah yang menggemparkan awam.

'(Nazarudin) masih diburu oleh kakitangan kami. Kami senantiasa mengawasi di mana dia berada,' kata jurucakap itu di ibu pejabat polis di sini.

Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, telah mengarahkan penangkapannya dan menyelar pihak media kerana menyiarkan berita dari sudut satu pihak sahaja - iaitu pihak yang menghantar SMS.

Pihak polis menjangkakan Nazarudin berada di luar negara dan polis harus mengadakan satu usaha yang diselaras dengan negara-negara lain untuk menangkapnya, kata Encik Bachrul Alam.

'Buat masa ini Nazarudin berada di luar negara, jadi kami harus mengadakan penyelarasan dengan negara-negara lain. Kami tidak boleh menangkapnya tanpa penyelarasan itu,' jelas beliau.

Selepas diminta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia, pihak polis telah menghantar notis merah kepada Interpol, kata Encik Bachrul Alam.

Menurutnya, pihak Interpol akan mengedarkan identiti dan gambar Nazarudin kepada 188 negara.

Ketua detektif polis, Inspektor- Jeneral Sutarman, berkata polis telah dapat mengesan di mana Nazarudin berada, tetapi beliau enggan mendedahkanya kerana khuatir dia akan berpindah ke tempat lain.

Sebuah pertubuhan bukan milik pemerintah (NGO) telah menawarkan hadiah 100 juta rupiah ($14,200) kepada sesiapa saja yang boleh memberikan maklumat kepada penangkapan Nazarudin. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: