Pages

Thursday, July 21, 2011

Perarakan 1 juta bagi Palestin

Sokong undian dapatkan keanggotaan sebagai sebuah negara di PBB

RAMALLAH (Tebing Barat): Pemimpin yang dipenjarakan, Marwan Barghouti meminta rakyat Palestin mengadakan perarakan besar-besaran September ini bagi menyokong undian untuk mendapatkan keanggotaan sebagai negara Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Barghouti, tokoh dihormati di kalangan rakyat Palestin berkata langkah membawa negara Palestin menjadi anggota PBB adalah sebahagian daripada strategi baru yang boleh membuka pintu kepada penentangan aman dan popular.
“Saya menyeru rakyat di tanah air dan di luar untuk keluar secara aman, mengadakan perarakan yang disertai jutaan rakyat semasa minggu undian PBB pada September,” kata Barghouti dalam kenyataan ditulis dari penjara di Israel.

Dengan rundingan damai yang masih buntu, rakyat Palestin yang disokong Liga Arab memutuskan mendapatkan penyertaan penuh PBB sebagai sebahagian daripada apa yang mereka jelaskan pendekatan baru untuk perjuangan nasional.

Israel bimbang undian pada September akan mencetuskan bantahan yang diilhamkan dengan kebangkitan di rantau itu.

Seorang panglima tentera Israel yang enggan namanya disiarkan kelmarin berkata Israel akan memperkukuhkan kawalan sempadan berikutan cadangan bantahan itu.
Amerika Syarikat yang juga menjadi penaja utama rundingan damai sejak dua dekad lalu, menolak langkah diplomatik Palestin berkenaan, sebaliknya mengusahakan semula rundingan damai yang menemui jalan buntu berikutan keengganan Israel menghentikan pembesaran penempatan Yahudi.

Tel Aviv berkata langkah Palestin itu bertujuan memencil dan mengharamkan negara Israel.

Kuasa veto Amerika di Majlis Keselamatan mungkin menggagalkan usaha Palestin untuk mendapatkan keanggotaan penuh PBB dengan negara Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, serta timur Baitulmaqdis.

Bagi mengelak veto berkenaan, Palestin menyatakan pihaknya akan membentangkan resolusi itu di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bagi mendapatkan keanggotaan negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum Perang Enam hari pada 1967.

Mereka menjangkakan langkah itu boleh berjaya, berikutan sokongan yang sudah dinyatakan 120 negara yang jumlahnya dijangka meningkat sekurang-kurang 130 negara.

Barghouti, tokoh pergerakan Fatah yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas, menggesa semua pihak bersatu padu melancarkan serangan diplomatik untuk berhadapan dengan kuasa veto Zionis Amerika.

Bagi ramai rakyat Palestin, Barghouti kekal sebagai simbol perjuangan negara mereka. Penyokongnya menyifatkannya sebagai Nelson Mandela Palestin, tokoh yang berkarisma yang mampu menyatukan Palestin dan merangsang usaha untuk mendapatkan negara.

Beliau disabitkan dengan pembunuhan kerana peranannya dalam serangan ke atas Israel dalam kebangkitan Palestin atau intifada dan dihukum penjara seumur hidup oleh Israel pada 2004.

Wakil Palestin di PBB, Riyad Mansour berkata kenaikan taraf status Palestin akan membawa faedah termasuk membenarkan Palestin mendapat keanggotaan agensi PBB. – Reuters
Berita Harian Online | Perarakan 1 juta bagi Palestin

No comments: