Pages

Saturday, July 30, 2011

Pesakit mental rentung di hospital dirawat

Warga Indonesia terperangkap dalam bilik kurungan HKL sebelum sempat terima rawatan

KUALA LUMPUR: "Kami menghantar abang ke hospital selepas dia mengamuk. Tetapi beberapa jam kemudian, abang ditemui rentung dalam bilik kurungan sementara," kata Dori Abdul Ghani, 26, ketika menceritakan kejadian kebakaran di Unit Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam, yang meragut nyawa Dedy Mulia Abdul Ghani, 33.
Mangsa seorang warga Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) tiba di hospital terbabit pada jam 9 malam selepas dihantar polis dan adiknya untuk mendapatkan rawatan kerana dipercayai mengalami masalah sakit mental.
Bagaimanapun, dalam kejadian pada jam 12.30 malam itu, seramai 15 pesakit lain yang sedang mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan itu berjaya dibawa keluar oleh kakitangan hospital dan ditempatkan di wad sementara.

Dori berkata, beliau dan seorang lagi adiknya, Arifin, 25, tidak menyangka abang sulungnya yang dihantar ke hospital untuk rawatan pada jam 9 malam itu dikembalikan dalam keadaan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran.

“Kami terpaksa mengikatnya sebelum menghubungi polis meminta bantuan untuk ke hospital. Selepas melihat abang diletakkan dalam bilik kurungan, saya pulang ke rumah pada jam 10.30 malam untuk mengambil isteri sebelum dihubungi pengawal keselamatan Unit Kecemasan yang meminta kami datang ke hospital dan memaklumkan abang saya meninggal,” katanya ketika ditemui di perkarangan hospital, di sini, semalam.

Katanya, abang sulungnya yang bekerja sebagai peniaga buah durian dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun menghidap sakit mental sejak sekian lama dan pernah dimasukkan ke wad pesakit mental untuk rawatan lanjut.
“Kami tidak tahu bagaimana biliknya boleh terbakar sedangkan sebelum dibawa ke hospital, kami sudah memeriksa dan tiada alat berbahaya dengannya termasuk mancis.

“Masih terngiang-ngiang lagi jeritan abang yang merayu supaya membawanya ke wad dengan segera sebaik tiba di hospital. Bagaimanapun tiada seorang kakitangan hospital yang tampil memeriksa keadaannya selepas dua jam berada di hospital berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 12.35 pagi sebelum menghantar dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit yang tiba 10 minit kemudian.

“Kebakaran dipercayai bermula daripada salah satu bilik rawatan di Unit Kecemasan yang ketika itu didiami seorang mangsa untuk rawatan. Api yang marak dengan cepat menyebabkan mangsa gagal diselamatkan sebelum ditemui dalam keadaan rentung, manakala 15 pesakit lain berjaya dikeluarkan,” katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian

1 comment:

Idah said...

kat mana2 pun boleh berlaku...