Pages

Saturday, July 30, 2011

Mayat bayi dalam beg tangan wanita


PERIKSA...anggota polis memeriksa mayat bayi ditemui berbungkus dalam beg tangan.
PERIKSA...anggota polis memeriksa mayat bayi ditemui berbungkus dalam beg tangan.

NILAI: “Saya ingatkan beg tangan itu berisi duit, namun sebaik membukanya, saya terkejut melihat sehelai tuala berdarah dan apabila disentuh ia terasa lembut,” kata Azmi Talib, 48, pengguna jalan raya yang menemui mayat bayi lelaki di Kilometer 282.4, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur masuk Nilai, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, Azmi yang kebetulan berhenti di bawah jambatan di lebuh raya berkenaan untuk makan durian bersama seorang rakannya mula sangsi melihat beg tangan wanita dalam keadaan masih elok dalam longkang berhampiran.

“Saya dan rakan menaiki dua motosikal dalam perjalanan pulang ke Gombak dari Muar, Johor, berhenti di situ kerana terlalu penat. Kami kemudian berhenti untuk makan durian dibawa dari kampung.

“Kemudian saya pergi ke longkang untuk membuang air kecil lalu ternampak beg masih lagi elok dan tergerak hati untuk membukanya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia bagaimanapun terkejut selepas ternampak kain berlumuran darah.

Katanya, dia tidak berani membuka bungkusan kain dalam beg itu dan terus menahan sebuah kereta peronda polis yang kebetulan melalui kawasan itu.


“Seorang anggota polis itu kemudian mengangkat beg ke atas dan membuka bungkusan itu sebelum menemui mayat bayi lelaki yang cukup sifat,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan sebaik dimaklumkan penemuan mayat bayi itu.
“Berdasarkan kepada siasatan awal mendapati bayi lelaki itu dipercayai baru dilahirkan kerana tali pusat dan uri masih ada padanya,” katanya.

“Malah, uri juga dibungkus dalam beg plastik berasingan dan diletakkan bersebelahan bayi itu. Bayi lelaki itu dibalut dengan tuala dan lampin di dalam sebuah beg tangan perempuan berwarna coklat,” katanya di sini, semalam.

Sepasukan polis dari Unit Forensik turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu kerja penyiasatan.

Beliau berkata, bayi itu dipercayai keturunan Melayu dan mayatnya itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Polis masih mengesan suspek membuang bayi itu dan orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 06-6033222 atau balai polis berhampiran.
http://www.hmetro.com.my

No comments: