SEOUL 29 Julai - Pihak berkuasa Korea Selatan hari ini dikecam hebat selepas jumlah korban bencana banjir dan tanah runtuh terus meningkat kepada 59, manakala 10 lagi dilaporkan masih hilang.
Pakar penganalisis dan media 'menyerang' pihak berkuasa bandar raya Seoul dengan menuduh keadaan menjadi semakin teruk ekoran pembinaan perumahan berhampiran lereng bukit di selatan bandar raya ini.
Terdapat sesetengah lereng bukit dijadikan tempat letak kereta serta trek mendaki dan keadaan tersebut menyebabkan air hujan tidak dapat diserap malah sistem pengaliran semula jadi dijadikan tasik buatan.
"Kerakusan pembangunan oleh manusia menjadi antara faktor bencana itu berlaku.
"Malah pakar-pakar telah memberi amaran terhadap pembangunan yang dilakukan di lereng bukit, namun pihak berkuasa seolah-olah tidak mengambil endah perkara tersebut," kata akhbar Joogang Ilbo.
Beberapa penduduk di kaki Gunung Umyeon di selatan Seoul yang mencatatkan lapan kejadian tanah runtuh, bagaimanapun percaya bencana itu dapat dielakkan.
Bencana ribut pada September lalu memusnahkan banyak pokok di kawasan gunung dan usaha lambat kerajaan untuk menanam semula pokok-pokok tersebut memudahkan lagi kejadian tanah runtuh.
Sementara itu, kegagalan agensi kaji cuaca dalam melaporkan keadaan hujan dan ribut turut dikecam.
Keadaan hujan lebat menyebabkan lebih 11,000 penduduk tinggal sehelai pinggang, manakala bekalan elektrik bagi 130,000 rumah di seluruh negara terputus. - AFP
http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment