Pages

Saturday, July 30, 2011

Anggota polis bebas daripada tuduhan bunuh


SAHARI (kanan) memeluk anaknya Shafiq Haikal selepas mahkamah  membebaskannya daripada tuduhan membunuh lelaki Indonesia lima tahun lalu.
SAHARI (kanan) memeluk anaknya Shafiq Haikal selepas mahkamah membebaskannya daripada tuduhan membunuh lelaki Indonesia lima tahun lalu.

SHAH ALAM: Selepas lima tahun direman dalam penjara dan menanggung kesedihan kehilangan anak perempuan yang mati didera teman lelaki isteri sendiri, seorang anggota polis semalam tersenyum gembira kerana dapat menyambut Ramadan bersama keluarga apabila dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi, di sini atas tuduhan membunuh.

Sahari Usul, 34, bapa kepada mangsa dera, Syafiah Humairah, kanak-kanak berusia tiga tahun yang dibunuh teman lelaki ibunya, Februari tahun lalu, dilepas dan dibebaskan selepas mahkamah mendapati wujud keraguan dia mempunyai niat melakukan jenayah bunuh itu pada 2006.
Bagaimanapun dua lagi anggota polis yang dituduh bersama Sahari, Koperal Ailias Yahaya, 54, dan Konstabel Saiful Azlan Shah Abdullah, 47, disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah berkenaan yang bersidang di depan Hakim Dr Badariah Sahamid.
Mereka bertiga didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membunuh seorang lelaki Indonesia, Yusrizal Yusuf di Ladang Caledonia di Kilometer 22, Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor, Batu Arang, Gombak, antara jam 10 malam hingga jam 11.30 malam pada 13 Januari 2006. 

Selepas dibebaskan, Sahari terus mendukung anak lelaki sulungnya yang dibawa kakaknya ke mahkamah dan mengucapkan rasa syukur serta gembira dengan keputusan mahkamah itu. 

Ketika ditemui kemudian, anggota polis itu berkata, beliau mahu melawat kubur Syafiah Humairah dan mahu pulang ke Sarawak. Keluarga Ailias dan Saiful Azlan Shah yang turut hadir di mahkamah kelihatan menangis teresak-esak selepas keputusan dibacakan hakim. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azri Harun dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam manakala pembelaan diwakili peguam Kuldeep Kumar (Sahari), M Athimulan (Ailias) dan Ravi Shankar Ghandi (Saiful Azlan Shah). 
http://www.bharian.com.my

No comments: