Pages

Saturday, July 30, 2011

Hadiah kahwin paling bermakna


 NORMAN dan Memey  di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.
NORMAN dan Memey di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.

Norman, Memey bebas tuduhan khalwat selepas penantian hampir tiga tahun 

KUALA LUMPUR: "Ini hadiah perkahwinan paling bermakna bagi kami," kata pelakon Memey atau nama sebenarnya Suhaizah Suhaimi selepas beliau dan bakal suami, Norman Hakim dibebaskan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini semalam daripada tuduhan berkhalwat, tiga tahun lalu.
Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon pula menangis dan melahirkan kesyukuran sebaik Hakim Syarie, Salehan Yatim membacakan keputusan itu atas hujah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tuduhan berkenaan.
Dalam penghakimannya, Salehan antara lain berkata, pendakwa gagal membuktikan dua daripada elemen khalwat, iaitu sama ada pasangan itu berada bersama-sama ketika tangkapan dibuat kerana keterangan saksi menunjukkan Norman berada di sebuah bilik di tingkat atas premis manakala Memey berada di kaunter pertanyaan dengan berpakaian lengkap.

Beliau berkata, wujud percanggahan dalam keterangan enam saksi pendakwaan kerana hanya saksi keenam iaitu pengadu kes yang memberitahu mahkamah beliau melihat pasangan itu bersama-sama dalam premis dan Norman lari dengan memanjat bahagian ruang atas bangunan itu.

Norman dan Memey diwakili Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, dihadapkan di mahkamah berkenaan pada 21 Januari 2009, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4/1A Jalan UP1, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini antara jam 1.45 pagi hingga 3 pagi, 30 Oktober 2008. Pasangan itu yang mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu.

Ketika ditemui pemberita, Memey yang berbaju kurung kapas dan bertudung ungu, menyifatkan dirinya seolah-olah baru bebas dari penjara selepas penantian hampir tiga tahun, manakala Norman pula bersyukur kerana dugaan itu berakhir dan berharap perkahwinan mereka dua bulan lagi akan berkekalan.
Bekas isteri Norman, Abby Abadi ketika dihubungi Berita Harian, berkata berita itu tidak memberikan kesan kerana peristiwa berkenaan sudah tiga tahun berlalu dan beliau juga sudah memaafkan perbuatan bekas suaminya itu.
http://www.bharian.com.my

No comments: