KAHERAH: Permohonan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang meminta jenazahnya dikebumikan di Masjid Nur, rumah ibadat kegemarannya menunaikan solat ketika majlis rasmi atau solat sunat ketika musim perayaan berhampiran Medan Abbassiah, dekat sini, bukan saja ditolak Ketua Kebajikan Rakyat Suez, Syeikh Hafiz Salamah, malah jutaan penduduk Mesir lain yang masih marah menganggap beliau tidak layak dikebumikan di situ.
Hosni yang membuat wasiat berkenaan sebelum revolusi lagi dianggap tidak layak dikebumikan di sana selain bakal mengundang satu lagi kebangkitan rakyat secara besar-besaran dan akan mendedahkan rahsia ketika tercetusnya perang pada 1973.
Perang 1973 ialah perang dilancarkan Mesir dan Syria terhadap angkatan bersenjata Israel dikenal sebagai Perang Oktober atau Ramadan atau Perang Yom Kippur yang mendatangkan pelbagai persoalan kerana ketika itu peluang menghapuskan Israel dari peta dunia tidak digunakan sebaik mungkin.
Ia sama seperti Perang Atrisi sebelumnya dengan satu tujuan supaya negara Arab mendapatkan kembali wilayah yang diduduki Israel sejak Perang 1967 namun cubaan itu gagal dan bencana politik yang disebabkan perang mengakibatkan Amerika Syarikat campur tangan sekali gus mengakhiri perang yang kemudian berakhir pada 1979 melalui perjanjian perdamaian antara Israel dan Mesir selepas peperangan berlangsung dari 6 Oktober hingga 25 Oktober 1973.
Seorang jurujual, Abdul Rahman Muhammad, 32, berkata, permintaan bekas presidennya itu untuk dikebumikan di masjid berkenaan tidak masuk akal kerana tiada ‘perompak rakyat’ disemadikan di kawasan rumah ibadat yang menjadi antara tumpuan dan kebanggaan rakyat Mesir.
No comments:
Post a Comment