Pages

Thursday, June 9, 2011

Lebih ramai warga Syria lari ke Turkey demi keselamatan

ANKARA: Lebih 120 pelarian warga Syria, termasuk wanita dan kanak-kanak, menyeberang sempadan ke Turkey semalam untuk melarikan diri daripada pertempuran di barat laut negara mereka.

Ini membawa jumlah pelarian Syria di negara itu kepada 450 orang, menurut Kementerian Luar Turkey.

Semua pelarian itu kini mendapat perlindungan di kawasan perkhemahan yang disediakan Persatuan Bulan Sabit Merah Turkey di bandar sempadan Yayladagi.

Lebih 30 pelarian Syria telah diberi rawatan di hospital Turkey akibat kecederaan yang dialami ketika pertempuran di utara Syria, sementara seorang telah disahkan meninggal dunia.

Pemerintah Turkey, berkata ia sudah bersedia menerima kemasukan pelarian Syria.

Malah, Perdana Menteri Turkey, Encik Tayyip Erdogan, memberi jaminan negaranya 'tidak akan menutup pintunya' kepada pelarian dari Syria.

Beliau menambah bahawa pihaknya sedang memantau perkembangan di Syria dengan rasa prihatin, dan meminta pemerintah Syria menunjukkan toleransi terhadap warganya, setelah pertempuran terbaru yang berlaku di timur laut negara itu.

Warga Syria mula meninggalkan bandar di timur laut Jisr al-Shughour, yang terletak sekitar 20 kilometer dari sempadan dengan Turkey.

Mereka bimbang pemerintah Syria akan mengambil tindakan keras menyusuli pemberontakan sekumpulan askar Syria yang mengakibatkan pergaduhan dengan para pegawai dan pengawal keselamatan.

Mmenurut pemerintah Syria, 120 anggota tenteranya terbunuh dalam kejadian itu.

Kemunculan askar dengan kereta kebal mencetuskan kebimbangan akan berlaku pertumpahan darah di situ.

Menurut seorang aktivis antipemerintah kepada agensi berita Reuters, tentera telah mula mengambil tempat di sekitar Jisr al-Shughour dan penduduk melihat kemaraan askar ke bandar itu dari Aleppo dan Latakia, di kawasan pantai.

'Kebanyakan penduduk telah meninggalkan bandar kerana takut,' ujar seorang lelaki yang tidak mahu dinamakan kerana khuatir akan keselamatannya.

Beliau menambah bahawa mereka tahu angka kematian akan meningkat dan mereka telah ke kawasan kampung dekat dengan sempadan Turkey.

Turkey menjalin hubungan erat dengan Syria dalam tahun- tahun kebelakangan ini dan memberi tekanan ke atas Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, supaya memperkenal pembaharuan tegar bagi mengakhiri kemelut yang melanda negara itu. -- Reuters, AP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: