TRIPOLI: Tripoli sekali lagi digegarkan dengan serangan bom dari jet tentera Nato semalam, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Muammar Gaddafi yang tetap berdegil daripada menyerah.
Beberapa letupan terdengar berdekatan kompleks Bab al-Aziziya yang menjadi tempat kediaman Gaddafi kira-kira jam 1.45 pagi (7.45 waktu Malaysia).
Beberapa ketika kemudian, ibu negara Libya itu sekali lagi digegarkan dengan letupan - kali ini lebih kuat.
Sasaran utama adalah kawasan kediaman Gaddafi yang memang menjadi fokus serangan Nato sejak pertubuhan itu mula campur tangan di Libya pada 19 Mac.
Sebahagian besar bangunan di Bab al-Aziziya ranap akibat serangan udara.
Dalam mesej audio selama sembilan minit ke seluruh negara, Gaddafi berkata, dia berada berdekatan sasaran bom Nato tetapi kejadian itu tetap tidak mengubah pendiriannya daripada terus bertahan.
Gaddafi juga menyeru rakyat Libya terus bangun melawan serangan itu.
“Kita hanya ada satu pilihan - terus berada di negara ini sehingga ke akhirnya sama ada kita hidup, mati, menang atau kalah.
“Kita tidak akan meninggalkan atau menjual negara ini, apa lagi untuk mengalah,” katanya.
Sejurus selepas itu, Tripoli sekali lagi diserang. - AFP
No comments:
Post a Comment