Pages

Wednesday, June 1, 2011

Pelan damai Libya lebur




GAMBAR yang disiarkan oleh pentadbiran Afrika Selatan semalam menunjukkan Presiden Jacob Zuma duduk bersama pemimpin Libya Muammar Gaddafi (kanan) semasa pertemuan mereka di Tripoli.


TRIPOLI - Muammar Gaddafi menegaskan beliau tidak akan meninggalkan Libya, kata Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma selepas berunding dengan pemimpin Libya tersebut semalam, sekali gus menjadikan prospek untuk menamatkan krisis di Libya secara aman tipis.
Namun, persoalan baru timbul berhubung berapa lamakah Gaddafi dapat bertahan selepas seorang pegawai bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kekurangan makanan dan ubat-ubatan di kawasan yang dikuasai Gaddafi semakin meruncing.
Beberapa jam selepas Zuma meninggalkan bandar ini lewat kelmarin, televisyen Libya melaporkan bahawa jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kembali melancarkan serangan.
Serangan terbaru itu mengenai beberapa lokasi awam dan tentera di Tripoli dan bandar Tajoura, di timur ibu kota Libya berkenaan.
Zuma berada di Tripoli dalam usaha untuk menghidupkan semula pelan damai anjuran Kesatuan Afrika (AU) bagi menamatkan konflik di Libya.
Konflik tercetus pada Februari lalu selepas rakyat Libya bangkit menentang Gaddafi yang kemudiannya merebak menjadi perang yang mengorbankan beribu-ribu orang.
Rundingan antara Zuma dan Gaddafi bagaimanapun menemui jalan buntu.
Pemimpin Libya itu enggan meletak jawatan dan menyukarkan proses damai. Ini kerana pemberontak dan NATO mahu beliau berundur sebelum sebarang gencatan senjata boleh dikuatkuasakan di negara Afrika Utara itu.
"Gaddafi mahu pengeboman oleh pihak NATO dihentikan bagi membolehkan rundingan diadakan," kata satu kenyataan pejabat Presiden Afrika Selatan berkenaan.
"Gaddafi menegaskan bahawa beliau tidak akan meninggalkan negaranya walaupun situasi kini semakin sukar," tambah kenyataan sama. - Reuters
Kosmo! Online - Dunia

No comments: