Pages

Tuesday, May 31, 2011

Pakistan rancang serang al-Qaeda



ISLAMABAD 30 Mei - Pakistan akan melancarkan serangan bersepadu melibatkan tentera udara dan darat ke atas gerila al-Qaeda dan Taliban di Waziristan Utara, dalam operasi pertama untuk menggempur militan tersebut selepas pembunuhan Osama bin Laden pada 2 Mei lalu.
Wilayah tersebut ialah kubu utama al-Qaeda dan Taliban di sempadan negara ini dengan Afghanistan.
Amerika Syarikat (AS) sudah lama menuntut Islamabad melancarkan serangan di wilayah itu bagi memburu rangkaian Haqqani, antara puak militan Afghan yang paling berbahaya memerangi askar Amerika di Afghanistan.
Pakistan sebelum ini keberatan berbuat demikian tetapi menghadapi tekanan makin hebat daripada AS untuk menyerang kem militan selepas Osama didapati tinggal bertahun-tahun di negara ini tanpa disedari, sebelum mati dibunuh oleh komando AS pada bulan lalu.
Akhbar News memetik sumber kanan Pakistan sebagai berkata, pesawat tentera udara Pakistan akan membedil kedudukan militan dalam 'serangan tentera bersepadu' sebelum operasi tentera darat dilancarkan.
Menurut akhbar itu, persetujuan telah dicapai berhubung serangan tersebut semasa kunjungan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada minggu lepas.
Seorang pegawai Kedutaan AS di sini berkata, beliau masih menyiasat kesahihan laporan itu.
Islamabad sebelum ini mendakwa pasukan keselamatannya tidak lagi berupaya menjalankan operasi di Waziristan Utara kerana mereka sudah pun terlalu sibuk memerangi pemberontak Taliban di kawasan lain di bahagian barat.
Namun penganalisis berkata, sebab sebenarnya ialah Pakistan menganggap rangkaian Haqqani sebagai aset untuk menyekat pengaruh India yang semakin meningkat di Afghanistan. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: