Pages

Wednesday, June 1, 2011

Mayat bayi perempuan ditemui tersangkut celah batu sungai


MAYAT bayi yang dijumpai dalam sungai berhampiran pusat beli-belah The Mall.
MAYAT bayi yang dijumpai dalam sungai berhampiran pusat beli-belah The Mall.

KUALA LUMPUR: Mayat bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui tersangkut di celah batu tepi Sungai Gombak berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata bayi, yang sudah dipotong tali pusat, ditemui oleh seorang awam yang terlihat bayi itu ketika berada di stesen berkenaan pada jam 9 pagi ini.
Beliau berkata, orang awam terbabit pada mulanya terlihat satu bungkusan seolah menyerupai anak patung terapung di celah batu di sungai berkenaan.
“Mengesyaki objek itu adalah bayi, orang awam terbabit memaklumkannya kepada polis.

“Sepasukan anggota polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Sentul yang dikejarkan ke tempat itu kemudian membawa keluar bayi malang itu dari celah batu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat bayi itu dipercayai dicampak dari tempat lain sebelum dihanyutkan di sungai berkenaan.

“Kita sehingga kini masih menyiasat segala kemungkinan yang ada termasuk mengalu-alukan sebarang maklumat dari saksi kejadian bagi membolehkan kita mengesan mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan itu,” katanya.
Katanya, polis juga sedang menyiasat sama ada bayi berkenaan sudah meninggal dunia sebelum atau selepas dibuang ke dalam sungai.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. Berita Harian Online | Mayat bayi perempuan ditemui tersangkut celah batu sungai

No comments: