Pages

Wednesday, June 1, 2011

120 pegawai Libya berpaling tadah

ROME: Lapan pegawai kanan tentera Libya muncul di Rome semalam untuk membuat pengakuan menjadi sebahagian daripada 120 pegawai dan anggota pasukan keselamatan berpaling tadah daripada Muammar Gaddafi sejak beberapa hari lalu.
Lapan pegawai kanan terbabit - lima berpangkat jeneral, dua kolonel dan seorang mejar - mengadakan sidang media tergempar dianjur kerajaan Itali.

Itali adalah antara kerajaan yang mengiktiraf gerakan pemberontak rakyat Libya bagi menyingkirkan Gaddafi sebagai pemimpin.

Seorang daripada pegawai terbabit, Jeneral Oun Ali Oun, berkata apa yang berlaku ke atas rakyat Libya menakutkan mereka.

“Berlaku pembunuhan beramai-ramai, keganasan ke atas wanita. Hanya orang bodoh dan tidak bermaruah tergamak melakukan kekejaman itu,” katanya.


Rakannya, Jeneral Salah Giuma Yahmed, berkata tentera rejim Gaddafi semakin lemah dari sehari ke sehari dengan kekuatannya merosot sehingga 20 peratus berbanding sebelum ini.

“Gaddafi kini di ambang kejatuhan,” katanya.

Duta Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Abdurrahman Shalgam, berkata semua 120 pegawai tentera yang berpaling tadah itu kini berada di luar Libya.

Bagaimanapun, duta itu yang turut menyatakan sokongan terhadap revolusi rakyat Libya tidak menyatakan di mana pegawai kanan terbabit berada.

Menurut sumber, semua pegawai tentera yang berpaling tadah itu meninggalkan Libya melalui sempadan Tunisia yang dikawal pemberontak. - Reuters
myMetro | 120 pegawai Libya berpaling tadah

No comments: