KABUL 31 Mei - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai hari ini tidak lagi membenarkan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan melancarkan serangan udara ke atas pemberontak selepas jumlah orang awam yang terkorban akibat serangan itu semakin meningkat.
Beliau berkata, rakyat Afghanistan tidak lagi boleh bersabar dengan serangan udara NATO.
''NATO perlu belajar, serangan udara ke atas rumah-rumah rakyat Afghanistan tidak dibenarkan," ujarnya.
Karzai berang selepas serangan udara NATO ke atas sebuah bangunan di selatan Helmand kelmarin menyebabkan 12 orang awam terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak.
Kematian orang awam akibat serangan udara tentera asing ke atas kediaman penduduk di Afghanistan ketika memburu pemberontak, telah lama menjadi punca utama perbalahan antara Karzai dan sekutu Baratnya.
Karzai memberi amaran bahawa rakyat Afghanistan sudah tidak boleh lagi menerima taktik tersebut yang beliau sifatkan melanggar kedaulatan negara ini.
"Jika mereka tidak menghentikan serangan udara ke atas kediaman penduduk Afghanistan, kehadiran tentera NATO di negara ini akan dianggap sebagai tentera penjajah.
''Komuniti antarabangsa telah banyak membantu kami tetapi mereka tidak boleh membahayakan nyawa rakyat Afghanistan, ia tidak dapat diterima,'' katanya. - Reuters
No comments:
Post a Comment