Pages

Wednesday, April 27, 2011

Thailand dan Kemboja sedia runding gencatan senjata



Sekumpulan askar Kemboja berehat di sebalik binaan kuil Preah Vihear. Pertempuran terbaru nyata mengeruhkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.


PHANOM DONG RAK, Thailand - Thailand dan Kemboja semalam bersiap-sedia untuk satu rundingan gencatan senjata selepas pertempuran terburuk di sempadan kedua-dua buah negara berlaku semalam mengakibatkan 13 orang askar terbunuh.
Berpuluh-puluh ribu orang awam terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing kerana askar-askar Thailand dan Kemboja melepaskan tembakan senjata berat seperti mortar, sekali gus menggoyah perdamaian sementara yang dipersetujui sejak Februari lalu.
"Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Banh telah bersetuju untuk bertemu rakan sejawatannya dari Thailand di Phnom Penh untuk membincangkan proses gencatan senjata antara kedua-dua belah pihak," jelas Kementerian Pertahanan Kemboja dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon menyatakan kesediaan sama. "Kami akan berpeluang untuk berbincang. Saya fikir situasi akan reda dalam tempoh beberapa hari," kata Wongsuwon.
Askar Thailand dan Kemboja saling berbalas serangan selama 30 minit berhampiran kuil Preah Vihear berusia 900 tahun yang menjadi fokus ketegangan selepas lokasi itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2008.
Pada 10 Februari lalu, sepuluh orang terbunuh berhampiran kuil tersebut, membuatkan PBB mendesak gencatan senjata tetap dikuatkuasakan. - AFP
Kosmo! Online - Dunia

1 comment:

Unknown said...

runding2 x mau gadoh2!!