“Pemimpin kami bekerja seperti biasa di Tripoli, dia sangat sihat dan mengetuai perjuangan untuk keamanan dan demokrasi di Libya,” kata jurucakap rejim, Mussa Ibrahim di luar bangunan yang dibom di pekarangan kediaman rasmi Gaddafi, Bab al-Aziziya.
Gaddafi berada di tempat yang selamat dan meneruskan perjuangan untuk menyediakan perkhidmatan, makanan, ubat-ubatan dan bahan bakar untuk rakyat, katanya pada sidang media dihadiri oleh beberapa duta asing.
Sebuah bilik mesyuarat menghadap pejabat Gaddafi rosak teruk dalam pengeboman yang digambarkan oleh NATO di Brussels sebagai ‘serangan tepat’ ke atas sebuah pusat komunikasi awal semalam.
Tiga orang terbunuh manakala 45 lagi cedera termasuk 15 parah dalam serangan udara itu, kata Ibrahim.
Sekurang-kurangnya lima letupan menggegarkan timur Tripoli malam tadi, kata saksi yang tidak dapat mengenal pasti lokasinya dengan tepat.
“Kami mendengar tiga letupan kuat dan melihat api dan kepulan asap dekat kawasan kami,” kata seorang penduduk di Ain Zara, timur Tripoli.
Pemberontak di Misrata, 215 kilometer ke timur Tripoli berkata, mereka telah mengusir askar Gaddafi dari bandar itu setelah dikepung selama lebih tujuh minggu.
No comments:
Post a Comment