LONDON: Setiausaha Pertahanan Britain, Liam Fox, semalam berkata pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, serta pegawai kanannya akan dibunuh kecuali mereka menyerah serta-merta.
Kata Fox, jika rejim Gaddafi terus melancarkan perang ke atas rakyat Libya, semua yang terbabit perlu menyedari mereka adalah sasaran tentera Barat.
“Pihak yang berkenaan perlu mengakui bahawa kami menganggap mereka sasaran yang sah,” katanya sejurus sebelum berlepas ke Washington untuk bertemu pegawai kanan AS bagi merangka pelan akhir menyingkirkan Gaddafi.
Sementara itu di Tripoli, Gaddafi melebarkan kempen ketenteraannya ke bandar Berber di Pergunungan Barat negara itu, di samping terus memerangi pemberontak di Misrata.
Selepas lebih sebulan tentera Bersekutu mengebom sasaran terpilih di Libya, konflik di negara itu masih belum menemui penyelesaian.
Campur tangan asing di negara Arab itu adalah yang terbesar selepas operasi menyingkirkan Saddam Hussein di Iraq pada 2003.
Jurucakap pemberontak di Misrata berkata, tentera penyokong Gaddafi berundur dari pinggir bandar itu tetapi pertempuran terus berlaku. “Tentera revolusi (pemberontak) kini cuba mara lebih jauh,” katanya. - Reuters, bharian
No comments:
Post a Comment