Pages

Wednesday, April 27, 2011

Syria tahan 500 penyokong demokrasi



ORANG ramai melihat gelagat seorang lelaki (kiri) membaling batu ke arah kereta kebal yang bergerak di kawasan Deraa, Syria kelmarin, dalam imej yang dipetik daripada video amatur ini. - REUTERS


DAMSYIK 26 April - Pasukan keselamatan menangkap kira-kira 500 penyokong demokrasi di seluruh Syria selepas sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan maut apabila kerajaan mengerahkan askar dan kereta kebal untuk cuba menghancurkan protes di bandar Deraa, selatan negara ini.
Pertubuhan hak asasi manusia Syria, Sawasiah hari ini berkata, pihaknya menerima laporan sekurang-kurangnya 20 orang dibunuh di Deraa sejak kereta kebal dikerahkan semalam, tetapi belum dapat disahkan kerana komunikasi dengan bandar itu, di mana protes menentang rejim Presiden Bashar al-Assad bermula pada 18 Mac lalu, telah diputuskan.
Seorang pegawai Sawasiah berkata, dua penduduk awam disahkan terbunuh di pinggir ibu negara, Douma yang dimasuki pasukan keselamatan awal semalam.
Sekurang-kurangnya 500 orang ditangkap di bahagian lain negara ini, katanya.
Amnesty International yang memetik sumber di Deraa berkata, sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh apabila kereta kebal membedil Deraa dalam 'reaksi kejam terhadap tuntutan rakyat'.
"Dengan menggunakan meriam ke atas rakyatnya sendiri, kerajaan Syria memperlihatkan keazaman untuk menghancurkan protes dengan apa sahaja cara, sekalipun meragut nyawa rakyat Syria," kata Pengarah Amnesty International bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Malcolm Smart.
Pasukan keselamatan juga menggempur Douma dan Mouadhamiya, pinggir Damsyik semalam, dengan melepaskan tembakan dan melakukan tangkapan, sehari selepas mereka masuk ke pekan Jabla, di mana sekurang-kurangnya 13 orang awam terbunuh, kata aktivis hak asasi.
Diplomat berkata, angka korban penduduk awam mungkin mencecah 50 orang di Deraa dan 12 di Mouadhamiya, yang terletak di jalan ke Bukit Golan, ke barat daya Damsyik.
"Rejim memilih untuk menggunakan kekerasan keterlaluan, tindakan yang berhasil pada 1982, tetapi tidak ada jaminan ia akan berhasil lagi pada zaman Internet dan kamera telefon," kata seorang diplomat kanan yang merujuk kepada langkah rejim menghancurkan pemberontakan di bandar Hama pada 1982, menyebabkan 30,000 terkorban. - Reuters

No comments: