Pages

Wednesday, April 6, 2011

Suspek 9/11 dibicara tribunal tentera

WASHINGTON 5 April – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berkata, dalang serangan 11 September, 2001, Khalid Sheikh Mohammed dan empat rakan subahat akan dibicarakan oleh sebuah tribunal tentera di Teluk Guantanamo, Cuba dan bukan di sebuah mahkamah sivil di New York.

Ketika mengumumkan perubahan pendirian itu semalam, Peguam Negara, Eric Holder berkata, kumpulan yang dituduh merancang serangan 11 September itu boleh disabitkan kesalahan jika didakwa di Mahkamah Persekutuan AS, tetapi Kongres patut dipersalahkan kerana mengenakan pelbagai langkah yang menyekat perbicaraan tahanan Guantanamo di AS.

Pentadbiran Obama terpaksa menghadapi kenyataan bahawa sekatan Kongres itu ‘tidak mungkin dimansuhkan dalam tempoh terdekat’, ujar Holder.

“Kita tidak boleh membiarkan perbicaraan ditangguhkan lagi untuk mangsa serangan 11 September dan ahli keluarga mereka yang telah menuntut keadilan selama hampir sedekad,” jelas beliau.

Holder yang mendakwa beliau membuat keputusan itu dengan ‘berat hati’, secara rasmi mengemukakan kes-kes Sheikh Mohammed, Walid bin Attash, Ramzi Binalshibh, Ali Abd al-Aziz Ali dan Mustapha Ahmed al-Hawsawi kepada Jabatan Pertahanan AS untuk mereka dibicarakan oleh suruhanjaya tentera.

Keputusan itu diambil pada hari sama Obama mengumumkan rancangan untuk bertanding semula pada pilihan raya Presiden 2012, dan juga menyusuli keputusan Mahkamah Agung AS, awal semalam untuk menolak tiga rayuan oleh tahanan Guantanamo yang membantah penahanan mereka tanpa tempoh ditetapkan.

Obama ketika mula menjadi Presiden pada 2009 berjanji untuk menutup Guantanamo dalam tempoh setahun, dengan menggambarkan kem tahanan itu sebagai simbol bagi segala pencabulan dalam ‘perang menentang keganasan’ yang dilancarkan oleh Presiden terdahulu, George W. Bush.

Namun, perbicaraan berprofil tinggi yang dirancang untuk Sheikh Mohammed dan empat lagi suspek anggota al-Qaeda itu di Guantanamo menunjukkan Obama sudah berputus asa untuk menutup kem tahanan tersebut dalam tempoh terdekat ini. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: