Pages

Wednesday, April 6, 2011

Rumah haram Yahudi

BAITULMAQDIS 5 April - Majlis Perbandaran Baitulmaqdis semalam meluluskan pembinaan 942 rumah baru di Gilo, sebuah kawasan penempatan haram Yahudi di bahagian paling timur bandar ini.

Keputusan itu dibuat menjelang pertemuan antara Presiden Israel, Shimon Peres dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, hari ini.

Ahli politik Elisha Peleg daripada parti sayap kanan, Parti Likud mengesahkan pembinaan projek terbaru itu berhampiran bandar Baitulaham di Tebing Barat dan ia diluluskan semasa sesi persidangan majlis perbandaran, petang semalam.

'Sudah tentu kita meluluskannya, ini hanya langkah awal,' katanya.

Menurut majlis perbandaran terlibat, projek terbaru itu merupakan pembinaan penempatan tambahan kepada 900 unit rumah di Gilo yang diluluskan pada November 2009 yang mengundang kritikan hebat Washington yang kecewa dengan tindakan rejim Zionis itu.

Keputusan terbaru Israel itu segera mendapat reaksi daripada Palestin semalam yang mengecamnya dan Palestin akan meminta bantuan masyarakat antarabangsa agar menggesa rejim Yahudi itu menghormati undang-undang antarabangsa.

'Kami mengutuk sekeras-kerasnya keputusan terbaru Majlis Perbandaran Baitulmaqdis itu. Keputusan itu, sekali lagi membuktikan Israel telah memilih penempatan berbanding rundingan damai,' kata perunding Palestin, Saeb Erakat. - AFP

No comments: