Pages

Tuesday, April 12, 2011

Pejuang Hizbullah mahu bom Tel Aviv besar-besaran


Israel percaya musuh di Lubnan berupaya lancar 600 roket sehari


TEL AVIV: Pejuang Hizbullah mampu menyerang Tel Aviv kerana memiliki lebih 20,000 peluru berpandu, pendedahan terbaru laman web pembocor rahsia, WikiLeaks, yang diasaskan oleh Julian Assange, kepada media. 

Perkara itu didedahkan dalam mesyuarat Kumpulan Kerjasama Tentera dan Politik pada November 2009, oleh pegawai risikan Israel kepada rakan sekutu Amerika Syarikat.
“Hizbullah bersedia untuk menghadapi konflik berpanjangan dengan Israel dan berharap dapat melancarkan roket secara besar besaran ke Israel setiap hari, antara 400 hingga 600 roket dan peluru berpandu setiap hari, 100 daripadanya disasarkan ke Tel Aviv,” kata mereka.
Kabel diplomatik itu turut mendedahkan hubungan Israel dengan musuh dan rakannya di rantau ini. Satu daripadanya mendedahkan hubungan Raja Bahrain dengan anggota Mossad. 

Kabel itu mendedahkan pertemuan antara Raja Hamad dan Duta Amerika Monore, di mana pemerintah itu mendedahkan : 

“Bahrain sudah hubungi Israel pada peringkat risikan dan keselamatan serta sedia runding kemajuan aspek lain,”. 

Menurut kabel itu, Raja Hamad turut menggalakkan pegawai rasmi Bahrain supaya tidak merujuk negara Yahudi itu dengan panggilan ‘entiti Zionis’ atau ‘musuh.’ Pendedahan lain kabel 2007 menyatakan, pentadbiran Bashar al-Assad tidak mampu bertahan jika ada konflik ketenteraan serius dengan Israel. 

Bekas ketua Mossad, Mossad Meir Dagan percaya pemerintah Arab tidak bersatu khususnya Mesir, Jordan, Syria dan Lubnan. 

Beberapa dokumen yang bocor itu turut mendedahkan pertemuan sulit pegawai rasmi Amerika dengan ketua yang dibuang Shin Bet, Yuval Diskin, juga pada November 2009. 

Menurut Diskin, Hamas harus cukup kuat untuk melaksanakan gencatan senjata dan mengelak daripada melakukan serangan roket dan mortar ke arah Israel. 

Diskin menambah, kekuatan Hamas adalah untuk tempoh jangka pendek dan keutamaan ialah untuk menghalang Hamas daripada memperkukuhkan kuasa di Gaza. 

Bagi tempoh jangka panjang adalah untuk mengelakkan Israel daripada berkuasa kembali di Gaza dan tanggungjawab bagi memastikan kesejahteraan penduduk awam Gaza tidak dipertimbangkan langsung oleh kepimpinan politik Israel. 

Diskin turut mengkritik warga Israel keturunan Arab menerusi kabel pada Mei 2008 dengan menyatakan bahawa mereka keterlaluan menuntut hak dan berpendapat yang kebanyakan warga Israel berketurunan Arab yang mencetuskan banyak masalah adalah mereka yang diberi permit untuk masuk semula ke Israel untuk bersatu semula dengan keluarga. 

Diskin berkata Israel bodoh kerana membenarkan puak Badwi mengambil isteri mereka dari Gaza dan masuk semula ke Israel. 

Di sebalik kritikannya, Diskin turut memberitahu kebanyakan penduduk Arab setia kepada Israel sepanjang tempoh 60 tahun ini termasuk semasa perang 1967 dan 1973 serta ketika keganasan berterusan. – Agensi 

No comments: