Pages

Tuesday, April 12, 2011

Askar Syria tembak mati empat penunjuk perasaan

DAMSYIK: Askar Syria telah menembak mati sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan 17 yang lain apabila pertempuran berlaku dengan para penunjuk perasaan di bandar Banias, kelmarin.


Keganasan terbaru itu berlaku selang sehari para penduduk mengebumikan sekitar 20 penunjuk perasaan yang terkorban dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di bandar selatan Deraa.


Dua cedera apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke atas para penunjuk perasaan di Deraa, kelmarin.Bandar Deraa merupakan lokasi para penunjuk perasaan mengadakan bantahan sejak lebih tiga minggu lalu.


Di Banias, pertempuran berlaku di kejiranan Ras al-Nabee, dengan Masjid Al-Rahman menjadi tapak utama bantahan.'Askar, pasukan keselamatan serta pegawai bersenjata telah mengepung bandar itu dari setiap penjuru dan telah melepaskan tembakan tanpa henti selama beberapa jam.'(Presiden) Bashar al-Assad ingin menyampaikan mesej kepada kami: hukum mereka yang berani menuntut kebebasan dengan kematian,' kata seorang profesor dari universiti setempat.Salah seorang saksi berkata ia merupakan 'satu pembunuhan beramai-ramai dengan penembak tepat melepaskan tembakan untuk membunuh'.Tembakan dikatakan disasarkan ke Masjid Al-Rahman, kata seorang lagi saksi.
Semalam, jalan masuk ke bandar Banias dikatakan masih dikepung oleh pasukan keselamatan.'Kami cuba memasuki Banias melalui jalan masuk utama di lebuh raya pantai tetapi pihak polis telah mengepung jalan raya dan mengarahkan kenderaan berpatah balik. Jalan raya kecil juga telah dikepung,' kata seorang saksi.Sekurang-kurangnya 90 orang telah terkorban di Syria sejak bantahan antipemerintah tercetus pada 15 Mac lalu.
Kelmarin, Presiden Assad berkata 'Syria sedang dalam proses melaksanakan pembaharuan umum.'Bulan lalu, Presiden Assad telah mengarahkan sebuah jawatankuasa perundangan agar melakarkan undang-undang baru bagi menggantikan perintah darurat yang telah berkuatkuasa sejak 1963. -- AFP, AP.
-cyberita

No comments: