BENGHAZI: Pemberontak Libya berkata tentera yang setia dengan Muammar Gaddafi perlu berundur dan menghentikan serangan manakala rakyat diberi kebebasan bersuara sebelum sebarang perjanjian gencatan dipersetujui.
“Rakyat mesti dibenarkan mengadakan perhimpunan untuk menyuarakan pandangan mereka manakala askar perlu kembali ke berek masing-masing. Jika rakyat dibenarkan keluar menunjuk perasaan di Tripoli, gencatan senjata boleh ditandatangani. Saya membayangkan seluruh Libya dibebaskan dalam beberapa ketika,” kata jurucakap kumpulan pemberontak Majlis Peralihan Kebangsaan, Shamsiddin Abdulmolah.
Beliau juga mendesak pembebasan beratus-ratus orang hilang dipercayai ditahan tentera Gaddafi, sejak pemberontakan bermula agar dibebaskan.Abdulmolah bagaimanapun ragu jika Gaddafi akan memenuhi tuntutan mereka.
“Dunia sudah menyaksikan tawaran gencatan senjata sebelum ini dan dalam tempoh 15 minit tentera beliau melancarkan serangan semula,” katanya.
Pemberontak sebelum itu berkata, mereka bersedia mengadakan rundingan peralihan sistem politik ke arah demokrasi dengan beberapa tokoh kanan rejim Gaddafi tetapi dengan syarat beliau dan anaknya meninggalkan negara itu. – AFP
No comments:
Post a Comment