Pages

Wednesday, March 2, 2011

Tentera asing mungkin campur tangan di Libya



02/03/2011 7:09pm

KUALA LUMPUR 2 Mac — Libya berkemungkinan besar akan mengalami campur tangan tentera asing sekiranya pemimpin negara itu Muammar Gaddafi tidak melepaskan jawatannya, kata penganalisis dan ahli akademik terkenal Dr. Chandra Muzaffar hari ini.
Dr. Chandra, yang juga presiden International Movement for a Just World (JUST), berkata, beberapa negara tertentu dan pemimpin berhaluan kanan di Amerika sedang mendesak agar campur tangan tentera dilakukan untuk menggulingkan pemimpin Libya yang telah berkuasa selama lebih empat dekad itu.
"Kita tahu tindakan itu (campur tangan ketenteraan) bukan bertujuan untuk menyelamatkan rakyat Libya, tapi kerana sebab strategik... dan kerana minyak Libya (Libya disahkan memiliki jumlah simpanan minyak terbesar di Afrika),” katanya pada forum bertajuk “The Lotus Revolution: Dynamics of Political Change in Egypt and Beyond” di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini.
Forum anjuran ISIS itu dihadiri para diplomat, ahli akademik dan penganalisis politik.
Dr. Chandra berkata, untuk mencegah tercetusnya perang saudara secara besar-besaran, pertumpahan darah dan campur tangan tentera asing, orang kanan Gaddafi serta anggota keluarganya perlu meyakinkan pemimpin Libya itu bahawa beliau perlu meletakkan jawatan.
"Libya akan menjadi lombong emas bagi mereka (negara luar) yang ingin menguasai negara itu. Gaddafi perlu diyakinkan tentang pentingnya beliau meletakkan jawatan, demi kepentingan negara dan rakyat serta legasinya sendiri,” kata Dr. Chandra.
Ahli akademik itu bagaimanapun berkata, beliau percaya, Gaddafi, seperti bekas presiden Iraq Saddam Hussein, tidak akan meninggalkan negaranya, walaupun kepimpinannya ditentang oleh sebahagian rakyat.
Ditanya tentang cadangan Presiden Venezuela, Hugo Chávez agar sebuah suruhanjaya keamanan antarabangsa ditubuhkan dengan dianggotai negara yang ingin melihat penyelesaian secara aman dicapai terhadap kemelut politik di Libya, Dr. Chandra berkata, beliau bersetuju dengan cadangan itu dan mencadangkan agar satu misi pencarian fakta turut dihantar ke Libya untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku di negara Afrika Utara itu.
Katanya, walaupun tentera asing akhirnya perlu dihantar ke negara itu, ia mestilah sebuah pasukan yang terletak di bawah naungan Bangsa Bersatu, bukan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), manakala anggotanya pula mestilah terdiri daripada negara Asia dan Amerika Latin, bukan Eropah.
Beliau berkata, campur tangan tentera asing akan hanya menguatkan kedudukan Gaddafi kerana beliau sudah pasti akan menjadikannya sebagai modal untuk meraih sokongan rakyat Libya dan dunia Arab atas dasar penyatuan bangsa Arab untuk menentang Barat.
Keadaan yang semakin buruk di Libya akan memberi kesan negatif terhadap ekonomi dunia, termasuk Malaysia, terutama berikutan kenaikan harga minyak, kata beliau. - BernamaUtusan Malaysia Online - Terkini

No comments: