Pages

Wednesday, March 23, 2011

Krisis nuklear belum berakhir



Seorang wanita berjalan di tengah-tengah kebinasaan dan serpihan akibat gempa bumi kuat dan tsunami yang melanda Jepun lebih seminggu lalu di Rikuzentakata, Iwate, semalam. - AFP


TOKYO 22 Mac - Dua reaktor paling berbahaya di kompleks tenaga nuklear Fukushima, timur laut Jepun mengeluarkan kepulan asap dan wap hari ini, menggambarkan usaha mencegah malapetaka nuklear dan menyekat radiasi daripada merebak dari loji itu masih belum berhasil.
Pasukan juruteknik yang bertungkus-lumus di dalam zon bahaya di sekitar loji tersebut telah memasang kabel elektrik ke semua enam reaktornya dan menghidupkan sebuah pam untuk menyejukkan rod tenaga nuklear yang terlampau panas.
Bagaimanapun agensi berita Kyodo berkata, wap kelihatan keluar dari reaktor No. 2 manakala asap putih dikesan di atas reaktor No. 3, memaksa kerja ditangguhkan sementara waktu.
Semasa krisis itu, reaktor tersebut telah beberapa kali meletup dengan mengeluarkan wap yang dipercayai melepaskan sejumlah kecil zarah radioaktif.
Operator loji, Tokyo Electric Co. (TEPCO) kemudian berkata, keadaan di loji itu kini dianggap selamat untuk membolehkan kerja diteruskan bagi mengawal reaktor.
Selain krisis di loji tersebut, semakin banyak radiasi dikesan dalam sayur-sayuran, air dan susu, menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Jepun dan di luar negara sekalipun kerajaan memberi jaminan parasnya tidak berbahaya.
TEPCO berkata, radiasi dikesan di Lautan Pasifik berdekatan loji Fukushima, sesuatu yang tidak mengejutkan kerana berlaku hujan dan reaktor disejukkan dengan air laut.
Pakar berkata, mereka tidak pasti di mana akhirnya air laut yang telah digunakan itu dibuang.
Iodin radioaktif dalam sampel air laut didapati 126.7 kali lebih tinggi daripada paras dibenarkan, manakala bahan radioaktif caesium dikesan 24.8 kali lebih tinggi, lapor Kyodo.
Namun TEPCO berkata, paras tersebut masih tidak membahayakan kesihatan.
"Air itu perlu diminum sepanjang tahun untuk seseorang menyerap radiasi satu milisievert," kata seorang pegawai TEPCO yang merujuk kepada unit ukuran radiasi yang standard.
Manusia selalunya terdedah kepada satu hingga 10 milisievert setahun daripada radiasi sekitar berpunca daripada bahan di dalam air dan tanah. - Reuters
utusan

No comments: