TEHERAN: Jika Barat mahu membantu orang awam di Libya, mereka perlu menyalurkan senjata kepada kumpulan penentang rejim Muammar Gaddafi, bukan mengebom pemimpin terbabit.
Dalam ucapan menyambut Nowruz (tahun baru Iran) semalam, pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, berkata apa yang dilakukan Amerika Syarikat ke atas Libya hanyalah langkah strategik bagi mendapatkan tapak di negara kaya dengan petroleum itu.
Khamenei turut menyelar kenyataan Presiden AS, Barack Obama, yang menganggap penunjuk perasaan prodemokrasi di Iran sama seperti kebangkitan rakyat menentang kerajaan kuku besi di rantau Timur Tengah.
Sambil menyambut baik protes rakyat di dunia Arab sebagai ‘kebangkitan Islam, Khamenei turut mengecam keras pendekatan diambil Gaddafi.
“Iran mengecam 100 peratus pentadbiran Gaddafi dan bagaimana dia menguruskan kemarahan rakyatnya.
“Bagaimanapun, kita juga mengecam 100 peratus pencerobohan serta campur tangan AS serta Barat di negara itu,” katanya.
Sepatutnya, kata Khamenei, Barat menyalurkan senjata seperti kelengkapan antikapal terbang kepada pemberontak bagi menghadapi serangan rejim Gaddafi.
Katanya, AS bercadang menjadikan Libya sebagai tapak strategik bagi memantau kebangkitan revolusi di Tunisia dan Mesir.
“Itulah niat jahat Barat,” katanya. - Reuters
No comments:
Post a Comment