Pages

Wednesday, March 23, 2011

Tiada kebenaran sasar Gaddafi: Cameron


LONDON: Perdana Menteri Britain, David Cameron semalam berkata, tidak ada kebenaran rasmi untuk menukarkan rejim di Libya meskipun terdapat cadangan daripada menteri negara itu supaya Muammar Gaddafi menjadi sasaran serangan udara.
Selepas kompleks Gaddafi di Tripoli musnah dalam serangan tentera Barat, Cameron berkata, ketetapan Majlis Keselamatan PBB terhad pada penguatkuasaan gencatan senjata dan zon laran terbang bagi melindungi rakyat Libya.

“Ia secara khusus tidak menyebut mengenai kebenaran bagi menyingkirkan Gaddafi menerusi tindakan ketenteraan,” kata Cameron kepada Parlimen sebelum anggota Dewan mengundi mengenai serangan itu.

Namun, menurutnya, Barat masih mahu melihat pemerintahan Gaddafi selama 41 tahun berakhir.

“Pandangan kami adalah jelas. Tidak ada masa depan yang baik untuk Libya selagi Gaddafi masih berkuasa,” katanya.

Anggota Parlimen Britain memberi sokongan padu terhadap tindakan ketenteraan itu selepas jet dan kapal selam negara itu meneruskan serangan untuk hari kedua bersama-sama Perancis dan Amerika Syarikat.


Setiausaha Pertahanan, Liam Fox Ahad lalu berkata, ada kemungkinan tentera Britain mensasarkan Gaddafi.

Setiausaha Luar, William Hague tidak menolak kemungkinan itu. - Reuters

No comments: