Pages

Wednesday, March 23, 2011

Serangan di Libya diperhebat



Penduduk Libya berkumpul untuk melihat bangkai pesawat F-15 milik Amerika Syarikat (AS) yang terhempas selepas mengalami kegagalan mekanikal di Ghot Sultan, tenggara Benghazi, semalam. Ketika kejadian pesawat itu dalam misi menyerang pertahanan udara pemimpin Libya, Muammar Gaddafi. - AFP


ZWITINA, Libya 22 Mac - Tentera Bersekutu membedil Libya untuk tiga malam berturut-turut malam tadi, dengan menyasarkan sistem pertahanan udara dan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi serta kompleks kediamannya di Tripoli.
Serangan sejak Sabtu lalu itu berjaya menyekat kemaraan askar Gaddafi dan mengembalikan sedikit momentum kepada pemberontak yang berada di ambang kekalahan pada minggu lepas.
Namun unit-unit tentera pemberontak yang tidak tersusun belum memanfaatkan kempen bedilan kuasa Barat itu, sekali gus meningkatkan kebimbangan konflik di negara ini boleh membawa kepada kebuntuan berlarutan.
AS menolak tindakan khusus untuk menggulingkan Gaddafi, meskipun Perancis semalam berkata, Paris berharap kerajaan Libya akan runtuh dari dalam.
Dalam pada itu, komander tentera AS dalam operasi Libya, Jeneral Carter Ham berkata, tentera bersekutu mungkin mengurangkan serangannya.
"Saya merasakan kita mungkin melihat kekerapan serangan berkurangan kecuali berlaku sesuatu yang luar biasa atau di luar jangkaan," kata Ham.
Presiden AS, Barack Obama berkata, Washington akan menyerahkan kuasa pemerintahan ke atas operasi Libya dalam masa beberapa hari lagi.
Beliau tidak menyatakan negara atau pertubuhan mana yang akan mengambil alih kuasa itu, tetapi Britain dan Perancis telah memainkan peranan utama dalam menuntut campur tangan ketenteraan di Libya.
Serangan peluru berpandu dan pengeboman itu cukup meluas sehingga memusnahkan sebahagian besar sistem pertahanan udara Libya.
Sementara itu, sebuah jet pejuang F-15 milik AS terhempas hari ini selepas mengalami kegagalan mekanikal di tenggara Benghazi, bagaimanapun juruterbangnya berjaya keluar dari pesawat sebelum ia terhempas. - AP/AFP

No comments: