2011/02/15
PENYOKONG Bashir menonton skrin video di luar mahkamah. Gambar kecil, Abu Bakar Bashir.
JAKARTA: Guru agama terkenal Indonesia, Abu Bakar Bashir semalam dibicarakan di mahkamah atas dakwaan terbaru merancang keganasan ketika negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia itu berhadapan dengan ketegangan agama selain ancaman militan.Bashir, 72, tiba di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan dengan kawalan ketat. Beliau, bagaimanapun, menafikan semua tuduhan beliau ada kaitan dengan kegiatan militan sebaliknya menyifatkan bahawa semua pertuduhan terhadapnya itu adalah ‘dirancang’.“Apa yang saya mahu lakukan adalah untuk mempertahankan Islam,” katanya dengan sambutan laungan ‘Allah Akbar’ oleh lebih 100 penyokongnya. Perbicaraan berkenaan dijangka mengambil masa sebulan.
Bashir yang juga disifatkan sebagai pemimpin pergerakan Jemaah Islamiyah (JI) yang dikaitkan dengan al-Qaida berhadapan dengan hukuman maksimum iaitu dihukum mati jika didapati bersalah kerana membantu membiayai sebuah kem militan di wilayah Aceh dan merekrut militan.
Dakwaan lain ialah beliau mengumpul 1 bilion rupiah (RM341,937) untuk membeli senjata api, peluru dan merancang pembunuhan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Bashir juga dituduh memberi 5 juta rupiah (RM1,790) dan AS$5,000 (RM15,000) kepada orang kepercayaannya, Joko Pitono di Ngruki, Jawa Tengah, menurut pendakwaan ke atas defendan di mahkamah Jakarta Selatan.
Pendakwa berkata, tertuduh juga mengarahkan anggota Jamaah Anshorud Tauhid (JAT) di beberapa kawasan menderma wang untuk tujuan melakukan keganasan.
Mereka didakwa mengumpul 80 juta rupiah di daerah Bima, 160 juta rupiah di Surakarta, 25 juta rupiah di Jawa Timur dan 250 juta lagi di Bekasi.
Turut dituduh termasuk Thoyib, Syarif Usman, Hariyadi Usman, Abul Hakim, Uqbah, Afif Abul Majid, Abdul Haris, Yudo dan Ubaid.
Wang yang dikumpul oleh Ubaid kemudian diberi kepada Dulmatin untuk tujuan membeli senjata api termasuk senapang AK-47, pistol, peluru dan latihan senjata.
Pendakwa juga berkata, senjata itu digunakan dalam rompakan bank CIMB Niaga dan kafe internet Newnet di Medan.
JI dipersalahkan atas beberapa serangan bunuh diri termasuk letupan bom Bali pada 2002 yang membunuh 202 orang kebanyakannya pelancong Barat.
Pihak berkuasa menemui kawasan kem baru militan itu di Aceh kira-kira setahun lalu.
Bashir yang pernah ditahan sebanyak dua kali sebelum ini sejak sedekad lalu pernah menjalani hukuman penjara selama 26 bulan di penjara atas dakwaan terbabit dalam keganasan dan beliau dikenali melalui ceramahnya yang penuh semangat. – Agensi
No comments:
Post a Comment