2011/02/15
FOTO NPA menunjukkan Sabatin yang ditawan dan digelar tawanan perang.
ZAMBOANGA: Pemberontak komunis Filipina menggelar seorang anggota polis yang ditawannya sebagai 'tahanan perang' sebelum mengisytiharkan gencatan senjata menjelang rundingan dengan kerajaan bertujuan menamakan kempen keganasan sejak beberapa dekad lalu.Tentera Baru Rakyat (NPA) yang memiliki kekuatan 4,700 anggota mengeluarkan gambar dan klip audio Jorge Sabatin, yang dikatakan ditawan sebagai tebusan selepas melakukan serbuan ke atas pos kawalan polis di selatan Filipina awal bulan ini.“Tolong bantu saya dalam keadaan sukar sekarang dan berusaha mendapatkan pembebasan awal untuk saya,” kata Sabatin menurut klip itu.
“Tolong hentikan operasi tentangan polis dan tentera supaya mereka dapat mempercepatkan pembebasan saya,” katanya.
Jurucakap Polis Nasional, Ketua Superintendan Agrimero Cruz, mengesahkan Sabatin hilang selepas serbuan pada 1 Februari lalu.
“Rundingan sudah dimulakan untuk pembebasannya dan saya tidak dapat mengulas lanjut,” kata Cruz.
Roel Agustin, jurucakap NPA di rantau selatan, berkata Sabatin akan dibebaskan jika siasatan mereka menunjukkan dia tidak melakukan kesalahan ke atas pergerakan revolusi itu dan orang awam.
NPA terkenal mengadakan perbicaraan sendiri ke atas tahanan perangnya.
Penganalisis keselamatan, Boogie Mendoza dari Institut Penyelidikan Keamanan dan Keganasan, berkata penahanan Sabatin adalah cubaan meraih perhatian umum dan tidak akan menjejaskan rundingan damai.
“Penculikan pegawai oleh NPA secara strategik untuk memaksimumkan propaganda,” kata Mendoza.
Dalam satu kenyataan lain, pihak polis berkata, sekumpulan tentera dihantar untuk menyelamatkan Sabatin tersalah anggap satu unit komando polis sebagai pejuang NPA Jumaat lalu, mencetuskan satu pertembungan yang menyebabkan kematian seorang askar dan mencederakan tiga yang lain.
Sementara itu, pemberontak mengisytiharkan perjanjian sebelah pihak semalam sejajar rundingan enam hari bersama kerajaan yang bermula di Norway hari ini.
“Arahan gencatan senjata berkenaan dikeluarkan atas alasan kemanusiaan dan sebagai tanda persahabatan bagi membolehkan arahan, unit dan kakitangan menunjukkan sokongan mereka untuk rundingan damai,” kata kenyataan yang dikeluarkan pemberontak. – AFP
No comments:
Post a Comment