JAKARTA 14 Feb. - Guru agama Indonesia, Abu Bakar Bashir hari ini menyifatkan tuduhan keganasan terbaru ke atasnya sebagai satu konspirasi, apabila perbicaraan kesnya kerana didakwa membiayai kumpulan militan ala al-Qaeda disambung semula.
Abu Bakar, 72, yang didakwa menjadi pengasas pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) tersenyum dan melambaikan tangan ke arah penyokongnya yang melaungkan takbir setibanya dia di mahkamah di Jakarta Selatan.
"Saya faham bahawa pada dasarnya saya dituduh menjadi ketua sebuah kumpulan militan di Aceh.
"Dakwaan sedemikian telah diada-adakan dan hanyalah omong kosong," katanya kepada panel hakim selepas mendengar tuduhan dibacakan kepadanya.
Di bilik penjaranya sebelum perbicaraan, Abu Bakar memberitahu wartawan, semua tuduhan hanyalah rekaan dan dia tidak melakukan apa-apa sekadar mempertahankan Islam.
Pendakwa berkata, Abu Bakar mengumpulkan lebih AS$140,000 (RM434,000) untuk sebuah kumpulan baru dikenali sebagai 'al-Qaeda di Aceh' yang dikesan menjalankan latihan di wilayah Aceh pada Februari tahun lepas.
Menurut kertas pendakwaan, dia menemui ketua operasi kumpulan, Dulmatin dan menghasut anggota supaya melancarkan serangan melibatkan pembunuhan dan rompakan atas nama jihad.
Polis membunuh Dulmatin pada Mac tahun lepas dan puluhan anggota kumpulan Aceh itu ditembak mati atau ditangkap.
Jika sabit kesalahan, Abu Bakar boleh menghadapi hukuman mati.
Inilah kali ketiga dia dibicarakan atas tuduhan berkaitan keganasan, bermula dengan serangan bom di Bali pada 2002 yang membunuh lebih 200 orang.
Abu Bakar menjalani hukuman penjara hampir 26 bulan kerana konspirasi berkaitan serangan bom itu sebelum dibebaskan pada 2006 dan kemudian dibebaskan daripada tuduhan terlibat dengan letupan itu. - AFP
No comments:
Post a Comment