2011/02/15
MAKASSAR: Bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie melancarkan buku kisah riwayat hidupnya bersama isteri, Ainun Hasri, kelmarin dengan berkongsi pandangan dan rahsia perkahwinan serta perasaan cintanya yang mendalam terhadap isterinya dalam satu perbincangan terbuka di sini.
HABIBIE setia di sisi Ainun yang terlantar sakit di hospital sebelum meninggal dunia.
“Terima kasih Engkau perkenankan kami bernaung di bawah titipan cinta. Terima kasih Engkau memberikan kami kesempatan merasa, menikmati dan melihat benih cinta itu tumbuh. Ya Allah, Engkau yang memberikan semua itu kepadaku dan Ainun, dan kepada Engkaulah semuanya akan kembali.”
Habibie berkata, beliau sentiasa menyebut doa itu tidak kira di mana saja termasuk ketika bertugas.
Dalam satu laporan laman web, bekas Menteri Penyelidikan dan Teknologi itu juga bersemangat menceritakan kisah rumah tangganya bersama Ainun.
Habibie berkata, kehidupan rumah tangganya berteraskan lima perkara itu cinta murni, suci, sejati, sempurna, dan abadi.
Katanya, wanita lain tidak menarik minatnya selepas Ainun bertanya kepadanya mengenai jelingan wanita di Eropah kepadanya.
Perbincangan dengan Habibie itu berlangsung dua jam. Habibie menulis 37 bab dalam buku mengulas perjalanannya bersama Ainun yang meninggal tahun lalu.
“Saya selalu merasakan Ainun ada bersama saya. Dengan adanya buku ini, saya akan terus ada perasaan itu pada kehidupan ini,” ujarnya. – Agensi
No comments:
Post a Comment