KOTA TINGGI 8 Dis. - Sepasang suami isteri yang membuka gerai menjual mi bandung di Jalan Abd. Aziz di sini menerima kunjungan 'pelanggan' istimewa iaitu seekor ular sawa petang ini.
Kehadiran reptilia sepanjang lebih empat meter dan berat kira-kira 25 kilogram ditemui melingkar di bawah pangkin yang sering menjadi tempat mereka berehat di belakang gerai tersebut.
Bagaimanapun, Satar Mohamad, 63, dan isteri, Rohani Othman, 52, bernasib baik kerana menyedari kehadiran reptilia itu dalam kejadian pukul 12.45 petang tadi.
"Saya terkejut mendapati apa yang saya dengar dan lihat itu sebenarnya ular sawa yang besar dan panjang," kata Satar semasa ditemui di sini.
Dengan bantuan dua anak lelaki dan tiga anggota bomba dan penyelamat, ular sawa itu berjaya ditangkap namun kemudian mati akibat kecederaan di kepalanya.
Seorang anak Satar, Aziz, 35, berkata, dia dan adiknya Rashid, 28, bergegas ke gerai itu sebaik dihubungi bapa mereka.
"Kami terpaksa berhati-hati kerana ular itu bertindak agresif apabila didekati," katanya sambil memberitahu terdapat seorang pelanggan semasa kejadian.
Rohani pula bersyukur kerana ular sawa itu berjaya ditangkap dan memberitahu, sebelum ini suaminya juga pernah membunuh seekor ular sawa yang saiznya lebih kurang sama sedang menjalar di dalam longkang di hadapan gerai mereka.
Sementara itu, pegawai operasi Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Abdullah Abd. Majid berkata, beliau yang membantu menangkap reptilia itu mati akibat kecederaan di kepala semasa ditangkap penduduk.
No comments:
Post a Comment