Pages

Thursday, December 9, 2010

Mengenali Musuh Islam sebenar: Kaum Yahudi bukan semuanya jahat

Zahra Masoumah

Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam.
Sebahagian orientalis dan musuh Islam cuma mewujudkan 
imej yang kandungan al-Quran itu menganjur permusuhan 
mutlak kepada orang Yahudi dan non-Muslim yang lain. Lalu 
mereka datangkanlah beberapa potong ayat atau tafsiran ayat 
al-Quran, seperti ayat ketujuh daripada surah al-Fatihah yang 
menyatakan bahawa orang yang dimurkai itu merujuk kepada 
Yahudi, dan orang yang sesat itu merujuk kepada penganut 
Kristian.


Adalah tidak tepat kalau kita masuk ke dalam jerat musuh ini. 
Sekiranya diperhatikan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, 
maka kita akan dapati bahawa Islam tidak pernah mengajar 
kita bermusuh secara mutlak kepada non-Muslim termasuklah 
juga bangsa Yahudi. Nabi sendiri pernah berkahwin dengan 
Safiyyah binti Huyai, seorang puteri kepada pemimpin Yahudi 
di Madinah. Islam juga membenarkan kita makan daging 
sembelihan Yahudi, menggambarkan betapa rapatnya 
hubungan kita dengan mereka. Selain itu, wanita mereka juga 
boleh dinikahi. Islam juga menganjurkan kita melakukan urus 
niaga perdagangan dengan mereka, sehinggakan ada satu 
bab khusus di dalam Sahih Bukhari bertajuk ‘Bab 
Berurusniaga Dengan Musyrik dan Yahudi’.

Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang 
memusuhi kemanusiaan. Yang menjadi musuh kita, ialah 
bangsa Yahudi yang memandang hina bangsa selain Yahudi 
yang dipanggil Goyem oleh mereka. Yang menjadi musuh 
kita, ialah bangsa Yahudi yang merampas tanah milik orang 
Palestin termasuklah tanah waqaf seinci demi seinci demi cita-
cita politik mereka. Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa 
Yahudi yang menghalalkan pertumpahan darah orang awam, 
kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa demi 
haloba perjuangan mereka.

Itulah yang diperjuangkan oleh pergerakan Zionisme. Kini, 
simbol Zionisme itu disemat erat di dalam bendera negara 
haram Israel. Bukan semua Yahudi bersama-sama dengan 
Zionisme. Ramai juga yang menentang Zionisme terutamanya 
daripada kumpulan orthodox mereka. Dan bukan semua yang 
Zionisme itu adalah berbangsa Yahudi. Di dalam artikel akan 
datang, saya akan dedahkah bangsa selain Yahudi yang 
menjadi pendokong pergerakan Zionisme, termasuklah 
daripada orang Islam itu sendiri.

Oleh: Ustaz Ahmad Irfan Ikmal Hisham (abidfana.com)

SETUJU??apa kata anda?

No comments: