Pages

Thursday, December 9, 2010

Penyokong WikiLeaks serang web pendakwa Sweden


WASHINGTON 8 Dis. - Penyokong WikiLeaks melancarkan serangan siber ke atas laman web pejabat pendakwa raya Sweden, yang mengeluarkan waran tangkap ke atas pengasas laman web WikiLeaks, Julian Assange atas dakwaan jenayah seksual.
Serangan semalam adalah yang terbaru dalam kempen penyokong WikiLeaks yang sebelum ini turut menyerang laman-laman web PayPal dan bank Pejabat Pos Switzerland.
PandaLabs, iaitu makmal pengesan perisian perosak bagi firma keselamatan komputer Panda Security, berkata, laman web pendakwa raya Sweden, aklagare.se dilumpuhkan oleh anggota kumpulan hacktivis siber dikenali sebagai Anonymous.
Serangan ke atas laman web pendakwa raya Sweden itu dilancarkan selepas Assange tidak dibenarkan ikat jamin oleh seorang hakim sebuah mahkamah di Britain berhubung dakwaan melakukan jenayah seksual di Sweden dan beliau akan ditahan sehingga kesnya didengar pada 14 Disember ini.
Penyelidik ancaman di PandaLabs, Sean-Paul Correll berkata, Anonymous melabel serangan ke atas laman-laman web pejabat pendakwa raya Sweden, PayPal dan bank Pejabat Pos Switzerland itu sebagai 'Operasi Menuntut Bela Untuk Assange'.
Katanya, serangan itu adalah sebahagian pertarungan yang meletus di Internet antara penyokong dan penentang WikiLeaks.
WikiLeaks sendiri telah menyaksikan laman webnya diserang berkali-kali oleh penggodam komputer, manakala firma-firma Amerika Syarikat (AS) beransur-ansur menarik balik sokongan mereka.
"Dua pihak terlibat dalam kempen serangan ini, dengan Anonymous di satu pihak memperjuangkan kebebasan maklumat dan kebebasan akhbar, manakala di pihak lain kita ada golongan yang menganggap diri mereka sebagai patriot yang cuba mempertahankan kepentingan AS," kata Correll.
WikiLeaks menjadi sasaran serangan siber sejak Assange mula menyiarkan dokumen-dokumen rahsia AS pada minggu lepas, sehingga memaksanya menukar alamat dan hos laman web. - AFP

No comments: