LONDON - Bos siri perlumbaan kereta Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone yang berusia 80 tahun muncul dalam iklan jam tangan Hublot dengan menampilkan mata kanannya yang lebam, lapor sebuah akhbar semalam.
Matanya menjadi lebam selepas dia diserang dalam satu kes rompakan melibatkan empat lelaki di luar pejabatnya di sini pada bulan lalu manakala jam tangan Hublot bernilai £200,000 (RM992,559) itu turut dilarikan.
Dalam serangan itu, perompak tersebut juga merampas barangan kemas milik kekasih Ecclestone, Fabiana Flosi.
Bos perlumbaan itu yang dianggarkan memiliki kekayaan bernilai £2 bilion (RM9.92 bilion) telah ditendang oleh perompak berkenaan.
Namun, Ecclestone menghubungi pihak pengurusan jenama jam tangan rasmi untuk F1, Hublot dan mencadangkan supaya gambar matanya yang lebam digunakan dalam poster iklan jam tangan itu.
"Saya menghubungi mereka dan mencadangkan ini (matanya yang lebam) sebagai peluang untuk melakukan sesuatu yang berbeza," katanya.
"Saya memahami terdapat orang yang mahu merompak saya kerana mereka miskin. Mereka mahu sesuatu untuk diberikan kepada anak mereka ekoran sambutan Krismas yang akan datang. Namun, apa yang mereka lakukan itu tidak wajar," tambahnya.
Iklan itu mempunyai barisan ayat yang bermaksud terdapat orang yang sanggup melakukan keganasan untuk mendapatkan jam tangan Hublot. - Agensi
No comments:
Post a Comment