2010/12/09
PENEMPATAN haram Yahudi diteruskan berhampiran Baitulmaqdis.
BAITULMAQDIS: Harapan meneruskan proses rundingan damai secara terus Asia Barat berkecai semalam, apabila Washington mengaku tewas dalam usahanya mendesak Israel membekukan pembinaan penempatan Yahudi, yang menjadi syarat utama Palestin untuk kembali ke meja rundingan.
Pegawai Amerika yang bercakap lewat semalam berkata, usaha pihak atasan untuk memujuk Israel melaksanakan semula pembekuan baru pembinaan di Tebing Barat gagal, menyebabkan Presiden Palestin Mahmud Abbas mengisytiharkan krisis dalam usaha damai, sekali gus memberi tamparan kepada pemimpin Israel berpendirian keras.
Tanpa pembekuan baru, Palestin enggan meneruskan rundingan, menyebabkan proses damai secara terus yang dimulakan 2 September lalu, menemui jalan buntu dan gagal hanya beberapa minggu selepas pembinaan penempatan dimulakan.
“Kami sudah meminta pembekuan dilaksanakan sebagai langkah untuk mengembalikan semua proses damai yang lebih meyakinkan. Bagaimanapun selepas pelbagai usaha dijalankan, kami menyimpulkan ia tidak dapat mewujudkan satu asas yang kukuh ke arah matlamat merangka satu persetujuan,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Philip Crowley di New York.
Sementara itu Abbas, ketika melawat Athens berkata: “Tidak dapat dinafikan krisis memang berlaku”.
Seorang penasihat kanan Abbas berkata, kedegilan Israel menggagalkan usaha Amerika untuk menyelamatkan rundingan damai secara terus.
“Dasar dan usaha pentadbiran Amerika gagal berikutan ‘tamparan’ yang diterimanya daripada kerajaan Israel,” kata Yasser Abed Rabbo kepada radio Suara Palestin.
Crowley berkata pegawai Israel dan Palestin dijangka melawat Washington minggu depan untuk mengadakan perbincangan berasingan dengan pentadbiran Amerika bagi mencari jalan memulihkan proses damai.
Laporan berita Israel menyatakan, utusan Amerika ke Asia Barat George Mitchell akan mengadakan pertemuan berasingan dengan ketua perunding Palestin Saeb Erakat dan rakan sejawatannya di Israel Yitzhak Molho dalam tempoh beberapa hari lagi. – AFP
No comments:
Post a Comment