Pages

Thursday, December 9, 2010

Henti hantar pembantu rumah Indonesia ke Saudi


JAKARTA 8 Dis. - Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) mendakwa berjuta-juta penyokongnya mahu kerajaan menghentikan penghantaran rakyat negara ini ke Arab Saudi untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
Pengerusi NU, Said Aqil Siradj hari ini berkata, cadangan itu yang mendapat sokongan daripada 12 kumpulan Islam lain yang mempunyai pengikut berjumlah lebih 100 juta orang menggesa kerajaan menghentikan amalan tersebut sehinggalah langkah-langkah perlindungan dilaksanakan di Arab Saudi.
Lebih 80,000 pembantu rumah Indonesia dihantar ke Arab Saudi setiap tahun menerusi agensi pekerjaan yang beroperasi di bawah dasar eksport buruh negara ini.
Pertubuhan hak asasi manusia berkata, pembantu-pembantu rumah Indonesia di Arab Saudi sering diperlakukan seperti hamba dan turut mengalami penderaan seksual.
Rakyat negara ini pada bulan lepas berang apabila media melaporkan tentang kes seorang pembantu rumah Indonesia, Sumiati Binti Salan Mustapa didera dengan bibirnya digunting dan belakangnya diseterika.
Sumiah, 23, masih dirawat di hospital di Madinah kerana kecederaan teruk yang dialaminya akibat perbuatan yang dipercayai dilakukan majikannya, seorang wanita Arab Saudi yang telahpun ditangkap.
Awal bulan lepas, mayat seorang lagi pembantu rumah Indonesia, Kikim Komalasari, 36, ditemui dekat Abha di Arab Saudi dengan kesan-kesan dipukul.
Pertubuhan hak asasi manusia dan aktivis buruh berkata, insiden terbaru itu menunjukkan ketiadaan perlindungan untuk berjuta-juta pembantu rumah asing di Arab Saudi dan negara lain di Teluk.
Namun, wanita yang menjalani kursus latihan pembantu rumah di luar Jakarta menganggap insiden tersebut sebagai kes terpencil dan mereka melahirkan keyakinan bakal majikan mereka di Arab Saudi akan melayan mereka dengan baik. - AP/AFP

No comments: