Pages

Monday, October 11, 2010

Tiga bomoh tangkap 12 lagi jin


Oleh Mohammad Ishak
bhkt@bharian.com.my
2010/10/11

Siti  Balqis
Siti Balqis
Siti Balqis ghaib 30 minit sebelum pasukan perubatan Islam YIT tiba di rumah

JERTIH: Usaha tiga pengamal perubatan Islam daripada Yayasan Islam Terengganu (YIT) merawat gadis ghaib, Siti Balqis Mohd Nor, 22, malam kelmarin, dikatakan berjaya menangkap 12 lagi jin yang mengganggu gadis berkenaan, selepas dua bomoh yang enggan dikenali sebelum ini mendakwa berjaya menangkap sembilan jin.Pada awalnya, usaha pasukan perubatan berkenaan dianggotai Pengelola Khidmat Masyarakat YIT, Hassan Yusof; penolongnya, Fauzi Malik dan Pengurus Khidmat Masyarakat, Wan Adi Rahman Wan Abd Rahman untuk merawat Siti Balqis seperti tidak kesampaian berikutan gadis itu didapati ghaib kira-kira setengah jam sebelum ketibaan pasukan perubatan itu ke rumah keluarganya di Kampung Gong Nangka, di sini, kira-kira jam 8 malam.
Ibu gadis berkenaan, Norizan Said, 47, berkata Siti Balqis tiba-tiba ghaib kira-kira jam 7.30 malam ketika mereka berkumpul menunggu ketibaan pasukan perubatan itu di rumah dan usaha mencarinya dilakukan di atas bumbung, dalam siling rumah, almari, rumah kosong, di bawah rumah dan di pokok manggis, tetapi gagal.

Berikutan itu, katanya, orang ramai termasuk pasukan perubatan berkenaan membaca surah Yasin beramai-ramai, sebelum Norizan menerima SMS daripada Siti Balqis jam 11.30 malam berbunyi ‘tolong dah jauh ni’ dan SMS kedua pada jam 12 tengah malam menyatakan ‘Umi cepat datang, kita dok (duduk) Bukit Keluang,’.

Selesai membaca surah Yasin, pasukan perubatan diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali bergegas ke Bukit Keluang, kira-kira 15 kilometer dari rumah mangsa, tetapi gagal menemuinya di kawasan pelancongan terkenal itu.

Sebaliknya, Ramlan berkata, mereka terserempak dengan sembilan orang termasuk dua wanita yang kelihatan seperti sedang bertapa dalam gua berkenaan. 
Katanya, ketika gerakan mencari Siti Balqis dijalankan, beliau dimaklumkan gadis itu ada di atas pokok rambutan di belakang rumah keluarganya kira-kira jam 1.30 pagi dan pasukan perubatan yang dihantar khas oleh kerajaan negeri itu kembali semula ke rumah untuk menjalankan proses rawatan mengikut kaedah Islam.

Pasukan perubatan itu memulakan usaha rawatan dan mendakwa berjaya mengeluarkan 12 jin yang kemudian dimasukkan ke dalam botol. Siti Balqis hanya sedarkan diri kira-kira jam 5 pagi tadi selepas menerima rawatan berkenaan.

No comments: