Oleh Amirullah Andi Nur, Zaiuddin Sharuddin, Nasir Abd Wahab, Badrul Hizar Abd Jabar, Ifwan Tun Tuah, Tuty Haryanti Ahmad Rodzi, Amir Mamat, Hatim Ab Manan dan Jaafar Mulup
bhnews@bharian.com.my
2010/10/11
REMBAU: Sekurang-kurangnya 12 maut dan lebih 40 cedera dalam kemalangan membabitkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam tadi.Kemalangan berlaku jam 7.12 malam apabila sebuah bas Ekspres Delima dari arah selatan menuju ke Kuala Lumpur terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van. Sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tiga kereta turut terbabit dalam kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, berkata kemalangan berlaku di lebuh raya menghala ke selatan, iaitu di antara Hentian Pedas-Linggi dan Plaza Tol Simpang Ampat.
“Sebahagian besar mangsa dihantar ke Hospital Tampin, Alor Gajah dan Melaka bagi memudahkan mereka menerima rawatan kerana kemalangan berlaku di lebuh raya menghala ke selatan,” katanya kepada Berita Harian malam tadi.
Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, berkata 24 pegawai dan anggota dari balai Rembau, Tampin dan Alor Gajah dihantar ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.
Seorang penumpang bas ekspres yang cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), Nur Najlaa Aqilah Mohd Ghazali, 19, berkata dia sedang tidur ketika kejadian.
MAYAT diletak di tepi jalan ketika kerja menyelamat dilakukan.
Pelajar Universiti Malaya itu berkata, dia terkejut daripada tidur apabila bas bergoyang kuat dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas di lebuh raya bertentangan.“Bas menimpa sebuah kereta sebelum dirempuh sebuah bas dari arah bertentangan. Keadaan kelam kabut dan nasib baik saya hanya cedera ringan,” katanya yang cedera muka dan tangan.
Difahamkan, bas JKM terbabit membawa bekas tentera yang menghadiri Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, petang semalam.
No comments:
Post a Comment