Pages

Monday, October 11, 2010

Kesesakan teruk empat jam di kawasan kemalangan




2010/10/11


  • Foto
    ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), paramedik serta anggota polis mengangkat mayat mangsa kemalangan.
  • Foto
    SALAH sebuah kereta yang terbabit remuk teruk dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan.
ALOR GAJAH: Kemalangan yang meragut 12 nyawa di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan di antara Hentian Pedas-Linggi dan Tol Plaza Simpang Ampat, mengakibatkan laluan di kawasan itu bagi kedua-dua arah mengalami kesesakan teruk kira-kira empat jam malam tadi.
  
  • Foto
    ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), paramedik serta anggota polis mengangkat mayat mangsa kemalangan.
  • Foto
    SALAH sebuah kereta yang terbabit remuk teruk dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan.

Laluan paling teruk mengalami kesesakan adalah ke arah Selatan apabila ribuan kenderaan terkandas agak lama berikutan dua bas dan beberapa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu melintang di atas lebuh raya.

Beberapa mayat serta orang ramai yang cedera bergelimpangan di atas jalan turut menyebabkan keadaan bertambah buruk.
Tinjauan mendapati banyak kenderaan berhenti di tepi jalan, dipercayai akibat pemandunya tidak mahu terperangkap dalam kesesakan atau untuk mengelakkan enjin kenderaan terlalu panas.

Kelihatan juga polis trafik dan peronda bertungkus-lumus cuba membantu bagi melancarkan perjalanan. 

Plaza Tol Simpang Ampat yang letaknya kira-kira enam kilometer dari lokasi kemalangan terpaksa ditutup sejurus selepas insiden pada kira-kira jam 6.50 petang itu.

Ini menyebabkan ribuan pengguna terutama yang hendak ke Kuala Lumpur terpaksa menggunakan laluan lama melalui Rembau, Negeri Sembilan manakala bagi ke Selatan, menggunakan Plaza Tol Ayer Keroh. 
Antara yang dilaporkan terperangkap dalam kesesakan itu adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Beliau dikatakan terpaksa masuk ke Tol Plaza Pedas Linggi, Negeri Sembilan, sebelum menuju ke Rembau dan Simpang Ampat.

Kebanyakan pengguna lebuh raya yang hendak memasuki Melaka atau menuju ke Johor datang dari Kuala Lumpur selepas bercuti hujung minggu.

Sementara itu, jurucakap Pusat Kawalan Trafik PLUS memaklumkan, laluan di lokasi kemalangan mula ditutup jam 8.45 malam, kira-kira dua jam selepas kejadian bagi kerja pembersihan dan penyuraian trafik, menyebabkan lebuh raya kesesakan teruk sejauh 15 kilometer menghala ke selatan dan lapan kilometer di laluan arah utara.

“Hampir keseluruhan laluan di kedua-dua arah terjejas berikutan kemalangan itu kerana membabitkan banyak kenderaan,” katanya. 

“Kami mengambil masa agak lama untuk membersihkan lokasi nahas bagi memberi ruang kepada kerja menyelamat oleh pihak berkaitan, termasuk polis, bomba dan paramedik sebelum itu,” katanya ketika dihubungi. 

No comments: