Pages

Saturday, October 30, 2010

Banjir terburuk di Thai



PEMANDANGAN dari udara merakamkan rumah kediaman dan bangunan di wilayah Ayutthaya, utara Bangkok ditenggelami air akibat banjir. - AFP



BANGKOK 29 Okt. - Thailand dilanda banjir paling teruk dalam tempoh beberapa dekad dengan 38 wilayah terjejas teruk dan angka korban mencecah sekurang-kurangnya 94 orang.
Institut Perubatan Kecemasan Thailand hari ini melaporkan 26 orang daripada mereka mati lemas sejak banjir melanda pada 10 Oktober lalu.
"Kebanyakan mangsa mati di rumah mereka atau kanak-kanak yang bermain berhampiran kawasan banjir," kata ketua institut itu, Chatree Charoencheewakul.
Pihak berkuasa menganggarkan, sebanyak 4.2 juta penduduk terjejas, dengan rumah-rumah ditenggelami air dan ladang atau binatang ternakan musnah, kebanyakannya di kawasan tengah dan timur negara ini.
Banjir itu melanda 38 daripada 76 wilayah di Thailand.
Air telah surut di 11 daripada wilayah yang terjejas, kata seorang pegawai.
Nakhon Ratchasima, sebuah wilayah yang bergunung-ganang kira-kira 250 kilometer dari timur laut Bangkok, merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan 18 kematian dicatatkan setakat ini.
Nakhon Sawan, Lopburi dan Ayutthaya yang terletak di utara ibu negara ini juga teruk dilanda banjir.
Bangkok telah bersiap-sedia dengan beribu-ribu guni pasir dan pam ketika banjir dari utara bergerak menuju ke kawasan hilir yang secara kebetulannya boleh bertembung dengan air pasang. - AFP

No comments: